mutakhir

Unit khas kesan dadah di sekolah

Santubong: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mewujudkan satu unit khas bagi mengesan murid sekolah yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, unit khas itu akan dibekalkan dengan peralatan terkini mengesan penyalahgunaan dadah dan diletakkan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Katanya, ketika ini Jawatankuasa Kabinet masih membincangkan keupayaan kewangan untuk mendapatkan peralatan khas yang akan dibekalkan kepada unit berkenaan.

“Kita akan berusaha mengesan penyalahgunaan dadah di peringkat awal dengan tumpuan terhadap murid sekolah termasuk di sekolah rendah.

“Unit khas itu dijangka beroperasi sepenuhnya tahun depan kerana ketika ini, kita masih dalam usaha untuk mendapatkan peralatan pemeriksaan terkini yang kita bekalkan kepada semua pejabat AADK seluruh negara,” katanya selepas perasmian sambutan Hari Antidadah Kebangsaan peringkat negeri di Kampung Santubong, semalam.

Wan Junaidi berkata, selain itu KDN turut menubuhkan Unit Keselamatan Sempadan bagi memantapkan lagi keupayaan mengesan penyeludupan dadah melalui pintu masuk sempadan negara.

“Unit itu sudah ditubuhkan dan diletakkan di bawah polis, namun kita menghadapi masalah kekurangan anggota untuk memastikan unit berkenaan beroperasi sepenuhnya.

“Anggota unit khas ini mestilah memiliki kemahiran khusus membaca bahasa tubuh bagi mengesan sebarang perubahan tingkah laku suspek penyeludup dadah ketika menyeberangi sempadan,” katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan terkini, kehadiran pendatang asing dari selatan Filipina di utara Sarawak, Wan Junaidi berkata, semua pihak diarah memantau sekerap mungkin bagi menanganinya.

Disiarkan pada: April 5, 2015 @ 5:32am
d