mutakhir

'Nahas kamu kalau cuba beritahu sesiapa'

“Nahas kamu kalau cuba beritahu sesiapa.” Itu antara ugutan diterima seorang pelajar tingkatan satu yang menjadi mangsa kerakusan bapa kandung sendiri yang bertindak merogolnya sejak, tahun lalu.

Bagaimanapun, penderitaan dialami mangsa berusia 13 tahun sejak Mei tahun lalu berakhir apabila remaja terbabit membuka mulut menceritakan kejadian itu kepada ibunya pada jam 7.30 pagi Rabu lalu.

Sumber berkata, kejadian pertama berlaku pada Mei tahun lalu di sebuah rumah panjang di Sungai Iran, di sini, apabila suspek berusia lingkungan 40-an mengambil kesempatan ketika ketiadaan ahli keluarga untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Suspek mengulangi perbuatan sama pada Ogos 2014 dan kali terakhir hujung bulan lalu. Malah, suspek turut mengugut mangsa supaya tidak memberitahu sesiapa jika tidak mahu sesuatu perkara berlaku ke atasnya.

“Ketika kejadian pertama berlaku, mangsa dipercayai ketakutan untuk menceritakan perkara itu kepada ibunya. Bagaimanapun, disebabkan tidak tahan perbuatan bapa kandungnya, mangsa nekad menceritakan kejadian itu,” katanya.

Katanya, berikutan itu, mangsa ditemani ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Song untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Song sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut. Pada masa sama, polis turut merekodkan keterangan mangsa dan ibunya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2015 @ 5:35am
d