mutakhir

Austin terselamat

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Taktik seorang lelaki menggunakan trak penunda untuk mencuri kereta antik akhirnya tumpas apabila dia ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Jalan Kelawai, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan jam 1 pagi oleh sepasukan anggota polis yang menerima maklumat dan melakukan intipan sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan mendapati suspek menggunakan trak penunda untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Suspek menggunakan trak penunda ketika melarikan kereta terbabit dan kita percaya ia dilakukan dengan tujuan mengaburi mata orang ramai kononnya dia sedang menunda kereta rosak.

“Kita percaya suspek mungkin anggota sindiket curi kereta yang kemudian menyimpan kenderaan berkenaan sebelum menjualnya kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis menemui kembali kereta antik jenis Austin bernilai RM 80,000 yang dilarikan suspek di sebuah pangsapuri di Sungai Ara, Khamis lalu.

“Pemilik kereta membuat laporan polis dan hasil siasatan lanjut kita berjaya menemui kembali kenderaan terbabit yang disembunyikan di sebuah inap desa.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 A(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan ada lagi beberapa individu yang terbabit dalam kes ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: April 5, 2015 @ 5:35am
d