mutakhir

Beruk cemburu macam manusia

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Digomol, digigit dan disergah beruk menjadi asam garam serta cabaran dilalui pelatih beruk untuk memastikan haiwan dilatih itu mempunyai kemahiran memanjat dan memetik kelapa.

Seorang pelatih beruk, Zaki Sulong, 45, dari Kampung Gelugor Haji Tahir, di sini, berkata, sejak 10 tahun melatih beruk dia berdepan kerenah pelik beruk sebelum haiwan dilatih itu memahami dan mampu memetik kelapa dengan baik.

“Tidak mudah memahami sikap beruk kerana ia mempunyai perasaan seperti manusia. Cemburu adalah hal yang perlu diberi perhatian kerana beruk yang berasa tergugat dan cemburu dengan kehadiran beruk lain boleh bertindak ganas.

“Beruk tua perlu diberi perhatian lebih berbanding beruk muda, malah beruk tua perlu diberi makan terlebih dulu jika tidak ia bersikap dingin dan tidak mengikut arahan,” katanya.

Katanya, beruk mempunyai tahap ‘kecerdikan’ yang berbeza dan bagi beruk ‘cerdik’ ia hanya memerlukan masa seminggu memahami arahan memetik kelapa.

“Berbeza dengan beruk kurang cerdik, ia mengambil masa agak lama hingga sebulan dan ke atas malah ada juga yang tidak menguasai terus kemahiran memetik kelapa sehingga terpaksa dilepaskan semula ke habitat asal di hutan simpan.

“Pernah juga ada beruk yang tidak perlu dilatih sebaliknya hanya melihat gerak geri beruk lain memetik kelapa ia menguasai kemahiran itu dan mendengar arahan,” katanya.

Menurutnya, empat beruk peliharaannya diberikan makanan berzat dan paling digemari ialah minuman isotonik serta buah selain nasi bagi memastikan ia bertenaga untuk memanjat pokok kelapa.

“Perkara yang perlu dimiliki pelatih beruk adalah naluri dan memahami bahasa gerak tubuh haiwan itu kerana melalui pergerakan pelatih dapat menduga sikap serta perangai beruk itu.

“Biasanya apabila beruk mencapai usia matang, ia agresif kerana ingin mengawan dan dalam tempoh itu ia tidak boleh diganggu serta kaedah terbaik ialah membiarkannya bertenang dalam tempoh dua hingga tiga hari sebelum kembali bersikap normal,” katanya.

Sementara itu, adiknya, Mokhtar Sulong, 41, berkata, dia dan abangnya mempelajari teknik melatih beruk daripada bapa mereka, Sulong Jusoh, 80.

“Kami melatih beruk ini bukan bagi kegunaan sendiri menjalankan perkhidmatan memetik kelapa menggunakan beruk.

“Biasanya kami dibayar upah memetik kelapa iaitu RM40 bagi 100 biji dan biasanya seekor beruk mampu memanjat serta memetik 300 kelapa sehari bergantung kepada kemampuannya,” katanya.

Menurutnya, selain dijadikan sebagai hobi memelihara dan melatih beruk, ia juga menambah pendapatan dengan menjalankan perkhidmatan memetik kelapa.

“Memelihara beruk berserta lesen boleh menjana pendapatan keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 7:30am
d