mutakhir

Berpusing hentam kereta

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Bayan Lepas: Seorang pesara polis wanita maut manakala kakaknya cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa Tan Phaik Keow, 61, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas ditemui tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang dipandu mangsa dikatakan dari Bayan Baru menuju pusat bandar.

Menurut Mior Faridalathrash, siasatan mendapati kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke arah bertentangan lalu melanggar kereta Kia Rio yang dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar.

“Kereta mangsa berpusing beberapa kali menyebabkan bahagian hadapan remuk teruk dan dia tersepit dalam kereta serta maut di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dikeluarkan anggota bomba dalam tempoh lima minit manakala kakaknya dikeluarkan orang awam,” katanya.

Mior Faridalathrash berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pilau Pinang (HPP) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera masih dirawat.

“Polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian dan sedang mengesan identiti pemandu kereta Kia Rio yang menghilangkan diri.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut (IPDTL) di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Pegawai Bomba Kanan II Kamaruzi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.35 petang dan tiba di lokasi lima minit kemudian.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 7:36am
d