mutakhir

Penyamun angkut peti besi

Georgetown: Seorang pemilik restoran kerugian RM80,000 apabila tiga penyamun melarikan wang tunai serta barang berharga yang disimpan dalam peti besi di premisnya di Lebuh Cintra, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, tiga suspek bersenjatakan parang menceroboh premis mangsa dan ketika itu hanya ada seorang wanita yang juga pekerjanya tidur dalam bilik di tingkat atas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, tiga suspek terbabit memakai topeng dan bersarung tangan masuk ke bilik pekerja mangsa dan mengikat tangannya menggunakan tali pengikat kabel.

“Suspek membawa lari peti besi yang mengandungi wang tunai RM70,000 hasil daripada jualan harian.

“Selain itu, lima lagi peti besi diumpil dan suspek mengambil barang berharga lain iaitu iPad, unit pemprosesan pusat (CPU) komputer dan juga CPU kamera litar tertutup (CCTV),” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mior Faridalathrash, suspek merampas rantai serta gelang emas milik pekerja mangsa dan wang tunai dilarikan itu belum sempat disimpan dalam bank oleh pemilik restoran berkenaan.

“Siasatan mendapati mangsa takut selepas melihat suspek membawa parang panjang dan terpaksa membiarkan dirinya diikat kerana bimbang dicederakan.

“Selepas memperoleh habuan mereka, suspek beredar dan pekerja mangsa sempat melihat kereta kuning dinaiki mereka melalui cermin biliknya namun dia tidak mengetahui jenis serta nombor pendaftaran kenderaan terbabit,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui tali pengikat kabel, topeng muka dan juga besi pengumpil di tempat kejadian yang ditinggalkan suspek.

“Pekerja berkenaan tidak dapat mengecam wajah suspek kerana mereka memakai topeng dan kami juga tidak menemui sebarang kesan cap jari di lokasi kejadian.

“Setakat ini kami masih mengesan semua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seskyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 7:37am
d