mutakhir

'Polis' kebas emas

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Sekumpulan penjenayah memakai jaket tertera tulisan ‘POLIS’ sebelum melakukan rompakan di sebuah kedai emas yang terletak di dalam pasar raya di Seksyen 13, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, lima lelaki lengkap bertopeng dan memakai topi keledar menyerbu masuk premis berkenaan ketika sekitar kawasan pasar raya di penuhi pengunjung yang mahu membeli-belah.

Menurut sumber, seorang daripada penjenayah membawa pistol dan melepaskan dua das tembakan ke udara dan mengenai siling kedai.

Katanya, selepas melepaskan tembakan, empat lagi suspek memecahkan cermin pameran dan mengaut barang kemas manakala pekerja premis diarahkan tidak melawan.

“Selepas suspek mengaut barang kemas, mereka beredar menaiki kenderaan yang menunggu di luar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Azisman Alias mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu tiada sesiapa yang tercedera sama ada pekerja premis barang kemas mahu pun orang awam yang berada berdekatan ketika kejadian.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 7:38am
d