mutakhir

'Bantu kami kurangkan beban'

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Pemilik rumah di Jalan Plumbum 7/101A di Seksyen 7, yang menjadi mangsa kejadian tanah mendap, Khamis lalu berharap pemaju dapat mengambil kira kos sampingan yang terpaksa ditanggung mangsa berikutan diarahkan berpindah ke rumah lain.

Salah seorang mangsa, Khuzaita Tumiran, 42, berkata, dia terpaksa menampung kos sampingan apabila pihak pemaju, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengarahkan mereka keluar Rabu ini bagi membolehkan kerja baik pulih dijalankan.

“Kami terpaksa keluarkan pendingin hawa dan pemanas air daripada rumah dan memasangnya di rumah yang akan kami sewa kelak dan ia sudah tentu memerlukan kos memandangkan daripada hasil perbincangan pagi tadi (semalam) kemungkinan kami semua terpaksa tinggal di rumah sewa sehingga Julai ini.

“Ia satu tempoh yang agak lama dan semestinya kami memerlukan keselesaan di rumah sewa nanti.

“Selain itu, tiga anak saya bersekolah di Seksyen 7 dan jaraknya agak jauh dari rumah sewa kami sekarang di Seksyen 9. Justeru, saya benar-benar berharap PKNS dapat menimbangkannya,” katanya.

Menurutnya, dalam perbincangan tertutup antara PKNS dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta penduduk yang terbabit, PKNS bersetuju untuk menanggung sewa kediaman penduduk terbabit dalam insiden berkenaan sehingga segalanya selesai selain menawarkan sewaan rumah kosong milik mereka.

Sementara itu, Pegawai Daerah Petaling Datuk Mohd Misri Idris berkata, projek pembangunan di I-City yang terletak bersebelahan kawasan perumahan berkenaan juga bersetuju untuk menghentikan pembinaan untuk sementara waktu.

Beliau berkata, penguat kuasa diletakkan sepanjang masa di kawasan berkenaan bagi memantau keadaan agar tidak berlaku sebarang pelanggaran arahan.

“Setakat ini, 12 unit rumah di kawasan berkenaan kritikal dan membahayakan nyawa penduduk sekiranya masih berlaku pergerakan tanah di kawasan itu.

“Kerja baik pulih akan dijalankan segera untuk memastikan keselamatan penduduk di kawasan berkenaan terjamin dan tidak lagi berlaku masalah pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Mohammed Azmin Ali sekali lagi menasihatkan penduduk yang terbabit untuk berpindah demi memastikan keselamatan mereka.

“Kami menggalakkan mereka untuk meninggalkan premis secepat mungkin. Bagi kerajaan negeri, keselamatan rakyat diutamakan dan kita tidak akan berkompromi dengan itu.

“Kerajaan melalui PKNS mahu memastikan segalanya selamat terlebih dahulu sebelum membenarkan penduduk pulang ke kediaman masing-masing,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, kawasan berkenaan diisytiharkan kawasan bencana Tahap Satu selepas berlaku tanah mendap menyebabkan 12 rumah di situ retak teruk.

Kejadian itu memaksa semua penghuni 12 rumah terbabit keluar serta-merta daripada rumah masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 7:39am
d