mutakhir

Dicekup ketika cari mangsa

Sungai Buloh: Misi jahat dua peragut yang bersiar-siar mencari mangsa terbantut apabila mereka dicekup polis, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, dua suspek itu ditahan ketika sedang menaiki motosikal di Jalan Sungai Buloh di sini, kira-kira jam 5 petang.

Gelagat mencurigakan suspek berasal dari Rawang itu bagaimanapun diperhatikan anggota polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan itu.

Junaidi berkata, polis kemudian mengekori suspek berusia 19 dan 29 tahun itu.

“Suspek yang menyedari mereka diekori polis kemudian cuba melarikan diri namun polis berjaya menahan mereka.

“Polis berjaya menahan suspek sebelum kedua-duanya dibawa ke Balai Polis Sungai Buloh untuk disiasat,” katanya.

Menurut beliau, hasil tangkapan itu polis merampas telefon bimbit, beg duit, kad pengeluaran wang automatik, pasport dan wang tunai disyaki barangan yang diragut.

Katanya, motosikal yang digunakan suspek didapati tidak didaftar dan tiada dalam rekod polis.

Menurut Junaidi, polis yang memeriksa maklumat pada pasport itu mendapati ia milik seorang wanita warga Indonesia yang pernah menjadi mangsa ragut di sekitar Sungai Way, Petaling Jaya, pada 1 April lalu.

“Suspek kemudian dihantar Balai Polis Sungai Way berikut suspek mempunyai rekod kes samun dan ragut sebelum ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 serta Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun dan ragut,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 7:48am
d