mutakhir

Hujan renyai iringi pengebumian

Kuala Lumpur: Jenazah Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, 64, yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih kelmarin disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara pada jam 5.55 petang semalam.

Hujan renyai mengiringi sepanjang majlis pengebumian Ahli Parlimen Rompin itu yang turut dihadiri beberapa kenamaan termasuk Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ir Idris Haron serta menteri Kabinet.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Jenazah tiba di masjid berkenaan pada jam 3 petang sebelum Imam Besar Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad mengetuai bacaan al-Quran.

Sebaik selesai solat Asar berjemaah, beliau mengetuai solat jenazah sebelum jenazah diusung ke Makam Pahlawan untuk disemadikan.

Mengiringi jenazah ialah isteri Allahyarham Puan Sri Dr Kalsom, anak sulung Ikhwan Hafiz dan anak perempuan Nuranis bersama lebih 1,000 orang yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Selepas bacaan talkin disempurnakan oleh Sheikh Ismail, para kenamaan dan kaum keluarga menyiram air mawar di pusara Allahyarham.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 8:04am
d