mutakhir

Tiada isyarat kecemasan

Putrajaya: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan tiada sebarang isyarat kecemasan daripada helikopter Eurocopter Dauphin AS365N2 diterima Menara Kawalan Trafik Udara (ATC), Subang sebelum ia terhempas di Sungai Pening, Semenyih.

Beliau berkata, komunikasi terakhir antara helikopter itu dan menara kawalan direkodkan ketika ia memohon untuk memulakan penerbangan.

“Ini perkara biasa kepada helikopter apabila sudah dibenarkan untuk terbang, ia boleh terus terbang.

“Melainkan sekiranya terdapat permintaan ketika ia diterbangkan, mereka boleh menghubungi terus menara kawalan,” katanya.

Liow berkata, pemeriksaan dengan ATC juga sudah dilakukan dan menunjukkan tiada isyarat kecemasan direkodkan daripada helikopter itu.

Menurutnya, helikopter berkenaan dalam keadaan baik serta selamat untuk diterbangkan.

“Kali terakhir helikopter itu diperiksa pada 29 Januari lalu manakala ujian penerbangan dibuat pada 9 Februari lalu.

“Malah, sijil kelayakan terbang bagi helikopter berkenaan sudah diperbaharui pada 13 Februari lalu serta sah sehingga 8 Februari 2016,” katanya.

Selain itu, kata Liow, helikopter berkenaan dikeluarkan Airbus Helicopters yang dulu dikenali sebagai Eurocopter France serta dibuat pada 1990 dan berusia kira-kira 25 tahun.

Katanya, helikopter itu juga menggunakan laluan betul dan dibenarkan seperti yang dipohon sebelum ia diterbangkan.

Berhubung kotak hitam, beliau berkata, ia akan dihantar ke Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Farnborough, United Kingdom (UK) dalam masa terdekat untuk dianalisis.

“Kita memerlukan masa tiga atau empat hari mengeluarkan semua data dalam kotak hitam itu selain kira-kira seminggu lagi bagi membuat analisis,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 8:10am
d