mutakhir

Sesak 10 jam gerabak tergelincir

Johor Bahru: Jalan Pekeliling di Pasir Gudang, dekat sini, terpaksa ditutup hampir 10 jam berikutan lapan gerabak kereta api tanpa muatan milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tergelincir dari landasan, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, kejadian kira-kira jam 4 pagi itu berlaku ketika kereta api berkenaan sedang bergerak dari arah Taman Pasir Putih di sini, menghala Pelabuhan Johor di Pasir Gudang.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda awam dilaporkan.

“Insiden ini menyebabkan halangan lalu lintas di kedua-dua arah Jalan Pekeliling ditutup hingga kerja memindah gerabak berkenaan selesai dijalankan oleh KTMB.

“Polis mengawal keadaan lalu lintas dan semua terkawal,” katanya.

Difahamkan, KTMB terpaksa menggunakan kren bagi mengalihkan gerabak berkenaan sebelum laluan berkenaan kembali lancar untuk kenderaan kira-kira jam 2 petang.

Disiarkan pada: April 6, 2015 @ 8:17am
d