mutakhir

Perlu suara untuk rakyat

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: “Jika menteri tetap mahu meneruskan subsidi beras Super Tempatan (ST) 15, itu hak dia. Kita di peringkat audit, kalau ada sebarang kelemahan, ketirisan atau pembaziran, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu suarakannya supaya semua rakyat tahu,” kata Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berpendapat program subsidi berkenaan tidak wajar dihentikan memandangkan pelaksanaannya memberi manfaat besar kepada golongan miskin dan golongan berpendapatan rendah.

Ia susulan teguran PAC terhadap kementerian minggu lalu yang meminta supaya program subsidi itu digantung sementara memandangkan ia didakwa tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan berkata isu program subsidi beras ST15 sebenarnya sudah dibangkitkan empat tahun lalu selepas diaudit oleh Jabatan Audit Negara pada 2011 berikutan terdapat kelemahan namun masalah masih berterusan sehingga kini tanpa ada sebarang tindakan.

Katanya, disebabkan itu, Jabatan Audit Negara diarahkan untuk melakukan pengauditan sekali lagi terhadap program berkenaan dan perkembangan mengenai perkara itu dilaporkan menerusi prosiding PAC membabitkan kementerian terbabit, minggu lalu.

“Baru-baru ini, Ketua Audit Negara mengarahkan jabatan untuk buat pengauditan sekali lagi, iaitu susulan daripada isu sama yang dibangkitkan sejak 2011. Ketika prosiding minggu lalu, Jabatan Audit Negara mengambil peluang memaklumkan perkembangan mengenai perkara itu kepada kita memandangkan ketika itu adalah prosiding berhubung program benih padi di mana ia selari dengan isu beras berkenaan.

“Berdasarkan penjelasan yang dibuat, PAC berbincang dan mendapati terdapat kelemahan dalam pengurusan program subsidi beras ST15 ini dan masih berterusan walaupun sudah dikenal pasti empat tahun lalu,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.

Beliau sebelum ini, menjelaskan bahawa program terbabit boleh diteruskan apabila kementerian terbabit mewujudkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) baru bagi memastikan program itu dinikmati golongan yang layak.

Terdahulu, beliau mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang mengenai Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 1.

Mengenai laporan itu, Nur Jazlan berkata PAC akan memanggil sebanyak 10 kementerian untuk memberi penjelasan berhubung pelbagai isu yang dibangkitkan termasuk pelaksanaan projek yang dilakukan menerusi rundingan terus.

Disiarkan pada: April 7, 2015 @ 10:00am
d