mutakhir

Dulu roti tempayan 50 sen kini RM1.50

Kota Bharu: Sebuah restoran di Jalan Dusun Muda, di sini, yang tidak berdaftar dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) didapati sengaja mengambil kesempatan untuk menaikkan harga roti tempayan yang dijualnya sebanyak 50 sen kepada RM1.50.

Tindakan tidak bertanggungjawab peniaga itu bagaimanapun, dikesan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas menerima aduan daripada pengguna, kelmarin.

Akibatnya peniaga berusia 40-an itu diberi tempoh tiga hari untuk membuat penjelasan sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun berkata, tindakan peniaga itu salah kerana menaikkan harga jualan sesuka hati selain tidak berdaftar dengan GST.

“Dia hanya meletakkan kertas bertulisan tangan yang memberitahu terpaksa menaikkan harga makanan kerana kenaikan harga barang sambil menyatakan kekesalannya di situ.

“Tapi tindakannya salah. Mana boleh suka hati naikkan harga dan sebab itu kita beri notis untuk dia buat penjelasan dan mengisytiharkan segala kos jualan dan belian bagi roti tempayan yang berkari daging.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan dia dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, malah dalam kes begini, kementerian tidak lagi menawarkan kompaun sebaliknya kes dibawa ke mahkamah,” katanya.

Ab Ghani berkata, setakat ini sudah 1,047 premis diperiksa menerusi Ops Bersepadu KPDNKK bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kota Bharu, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Disiarkan pada: April 7, 2015 @ 10:11am
d