mutakhir

Hotel, restoran tambah caj

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Sektor perkhidmatan terutama hotel dan restoran tidak dibenarkan mengenakan caj perkhidmatan kepada pengguna sekiranya tidak mempunyai perjanjian bersama (collective agreement (CA) di antara majikan dan pekerja.

Itu tegas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad bagi menjawab kekeliruan yang timbul dalam kalangan pengguna mengenai caj perkhidmatan yang dikenakan hotel dan restoran.

Alias berkata, berkuat kuasa semalam, hotel dan restoran yang melanggar arahan berkenaan boleh disiasat mengikut tiga akta iaitu Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Beliau berkata, sekiranya (hotel dan restoran) mempunyai perjanjian bersama, mereka dikehendaki meletakkan notis pada premis jika ingin mengenakan caj berkenaan kepada pengguna.

“Arahan itu berkuat kuasa hari ini (semalam) dan ia akan dilaksanakan sehingga ada polisi baru yang diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan mekanisme pelaksanaan caj perkhidmatan itu.

“Pada masa sama, kami meminta pengguna supaya tampil membuat aduan sekiranya mengesan hotel dan restoran yang masih mengenakan caj perkhidmatan walaupun tiada perjanjian bersama,” katanya pada sidang media harian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Datuk Subromaniam Tholasy.

Katanya, pihaknya ingin menjelaskan sebelum ini tiada badan kawal selia yang memantau dan mengawal pelaksanaan caj perkhidmatan itu kerana ia satu bentuk amalan yang diguna pakai dalam sektor perkhidmatan di seluruh dunia.

Alias berkata, pihaknya juga mengingatkan pengguna supaya lebih bijak dan tidak malu untuk bertanya apa bentuk caj perkhidmatan yang disediakan di hotel dan restoran yang dikunjungi.

Menurutnya, pihaknya sudah mula memanggil kesatuan pekerja hotel dan rangkaian restoran tempatan bagi menyertai sesi penerangan khas mengenai pelaksanaan GST dan caj perkhidmatan itu.

“Beberapa kesatuan sudah hadir bagi sesi penerangan itu pada 1 April lalu termasuk kesatuan pekerja hotel namun masih ada kesatuan yang gagal hadir terutama kesatuan pekerja restoran,” katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata, jumlah kumulatif e-aduan berkaitan antipencatutan GST yang diterima pihaknya bermula 1 April sehingga kelmarin sebanyak 2,494 aduan dimana 44 peratus daripadanya berkaitan kad tambah nilai prabayar.

“Sementara, jumlah kumulatif semakan pengguna sepanjang lima hari pelaksanaan GST menerusi aplikasi Mykira GST sebanyak 55,597 semakan.

“Selain itu, sebanyak 281 panggilan diterima menerusi Pusat Gerakan Antipencatutan (PGAP) pada Ahad lalu iaitu menurun sebanyak 18.5 peratus berbanding 333 panggilan pada Sabtu lalu,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2015 @ 10:12am
d