mutakhir

Basikal melayang atas gunung

Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kajang: Aktiviti riadah berbasikal hampir meragut nyawa seorang lelaki sejurus basikal ditunggang terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 10 meter di Gunung Nuang, Hulu Langat, di sini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 29 tahun itu bersama beberapa rakannya dalam perjalanan pulang menuruni gunung berkenaan.

Bagaimanapun mangsa terjatuh selepas hilang kawalan berpunca laluan licin.

Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Asri berkata, dia sempat menjerit untuk memberi amaran kepada mangsa berhubung laluan licin di hadapan yang bakal ditempuhi mereka.

“Bagaimanapun, mangsa hilang kawalan mengakibatkan basikalnya terjatuh ke dalam gaung.

“Mangsa sempat menyelamatkan diri walaupun jarak dia dan gaung itu terlalu hampir.

“Ketika itu, saya berada hanya beberapa meter di belakang mangsa,” katanya.

Menurutnya, mangsa terbaring kesakitan dan cedera di bahu.

“Mujurlah dia tidak terjatuh ke dalam gaung itu. Kami terpaksa menghubungi pasukan penyelamat bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

“Tidak lama kemudian, pasukan penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Dang Wangi dan Cheras tiba bersama sepasukan anggota bomba dan penyelamat,” katanya.

Menurutnya, mangsa selamat dibawa turun sebelum dihantar ke Hospital Pakar Ampang Puteri untuk menerima rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2015 @ 10:32am
d