mutakhir

Hadapi 4 tuduhan

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Shah Alam: Seorang pemandu teksi yang terbabit dalam insiden pertengkaran bersama sekumpulan gadis pada 29 Mac lalu didakwa atas empat tuduhan di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Bagaimanapun, tertuduh, Azmi Mat Mokhtar, 54, mengaku tidak bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan berkenaan.

Dalam pertuduhan pertama di Mahkamah Majistret 2, Azmi didakwa mengakibatkan kerosakan kereta Perodua Myvi milik Sharifah Fara Difla Syed Fareid, 28, jam 3.30 petang, 29 Mac lalu, di kawasan stesen minyak Petron, Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) (Akta 574) yang boleh dihukum penjara setahun dan tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Ellyana Razali menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Rohaida Che Hamid manakala tertuduh diwakili peguam bela Ahmad Mukmin Aimi Datuk Azmi.

Sementara itu di Mahkamah Majistret 1, Azmi didakwa atas tiga pertuduhan iaitu menumbuk dan menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik iaitu Sharifah Fara Difla, Sharifah Fara Afzan, 27, dan Sharifah Fara Ryyana, 24, pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 KK yang boleh dihukum penjara setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin menetapkan jaminan bagi setiap pertuduhan masing-masing RM1,500 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran pada satu haribulan setiap bulan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya N Parimalaah manakala tertuduh diwakili Ahmad Mukmin Aimi.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.

Akhbar ini minggu lalu melaporkan insiden pertengkaran antara pemandu teksi terbabit dengan sekumpulan gadis di sebuah stesen minyak.

Disiarkan pada: April 7, 2015 @ 10:35am
d