mutakhir

Laporan awal dalam sebulan

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Bentong: Laporan awal siasatan berhubung punca nahas helikopter yang mengorbankan enam individu termasuk Ahli Parlimen Rompin Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, Sabtu lalu, dijangka diketahui dalam tempoh sebulan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kotak hitam daripada helikopter Eurocopter Dauphin AS365N2 itu dihantar ke Cawangan Siasatan Kemalangan Udara di Farnborough, United Kingdom, semalam, untuk proses mengeluarkan data dan analisis bagi mengetahui kejadian sebenar menimpa helikopter terbabit.

Katanya, pasukan penyiasat memerlukan antara empat hingga lima hari memproses rekod kotak hitam dan sekurang-kurangnya tempoh seminggu bagi menganalisis data berkenaan sebelum laporan awal itu didedahkan kepada umum.

“Kami memerlukan sekurang-kurangnya sebulan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Sijil Petunjuk Geografi Halia Bentong dan Seminar Harta Intelek (Zon Timur), di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengggunaan Datuk Seri Hasan Malek.

Mengulas mengenai identiti mangsa yang dikenali sebagai Aidana Baizieva, Liow berkata, pihaknya mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan polis melakukan siasatan serta membuat pengumuman berhubung perkara itu.

Katanya, beliau difahamkan DCA, wanita itu ialah penolong pembantu operasi syarikat yang mengendalikan operasi helikopter itu.

Sehubungan itu, pihaknya meminta semua pihak menghentikan spekulasi perkara terbabit termasuk tidak menyebarkan laporan yang tidak tepat di media sosial bagi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.

“Tunggu laporan siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2015 @ 12:15pm
d