mutakhir

Kedai jam letak caj berganda

Shah Alam: Sebuah premis menjual jam tangan di sebuah pusat beli-belah terkenal di Setia Alam di sini, dikesan menaikkan harga barangan dijual di kedai mereka sejak 1 April lalu.

Pekerja di premis itu didapati memberi alasan kononnya senarai harga baru jam dijual sudah dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Bagaimanapun pemeriksaan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) terhadap resit dikeluarkan kepada pelanggan mendapati harga dikenakan itu tidak termasuk GST.

Difahamkan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis itu menaikkan harga sempena pelaksanaan GST dan apabila pembeli dikenakan caj berganda.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Selangor Abdul Rosik Yakub berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi di sekitar negeri itu bagi mengesan premis atau peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang.

“Operasi turun padang ini membabitkan sembilan pegawai daripada KPDNKK dibantu enam pegawai dari Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“Kami memeriksa 26 premis di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam dan beberapa premis di sekitar Seksyen U5 di sini, bermula jam 10 pagi semalam,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2015 @ 7:34am
d