mutakhir

Lahir graduan serba boleh

Kuala Lumpur: “Sudah pasti sebagai pelajar kami menyokong pelan ini yang akan melahirkan graduan serba boleh dan mampu bersaing di persada dunia,” kata Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Mohammad Syahme Baharudin.

Menurutnya, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) adalah usaha murni kerajaan ke arah sistem pendidikan yang mantap dan berkesan.

Namun baginya, hanya pelaksanaan mampu menjayakan matlamat asal dan membantu anak bangsa memperoleh pendidikan terbaik dengan penerapan pemikiran matang serta profesional.

“Saya yakin ia memberi impak positif dan sebagai pelajar, pasti kami menyokong pelan ini kerana ia selari dengan hasrat negara untuk lahirkan anak bangsa berguna,” katanya.

Pandangan Mohammad Syahme dipersetujui Naib Yang Dipertua MPP Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Hanif Ramlan dan menyifatkan pelan itu memberi manfaat kepada pelajar dari segi peluang pekerjaan selepas tamat belajar.

“Pelan ini tidak mengecualikan mana-mana aspek termasuk fokus kepada kemahiran insaniah yang tinggi. Malah, memberi pendedahan kepada kami mengenai kriteria yang diperlukan majikan di luar sana.

“Apabila pendidikan negara berada setaraf universiti tersohor dunia, kebolehpasaran graduan juga akan semakin meningkat dan statistik pengangguran dalam kalangan lepasan graduan mampu dikurangkan,” katanya.

Manakala Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2014/2015 Muhammad Sallehudin Khalid berharap PPPM (PT) mampu mengangkat martabat dan kualiti pendidikan negara ke tahap tertinggi.

“Mahasiswa perlu mempunyai keinginan menjadi graduan seimbang dalam menongkah arus pembangunan,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2015 @ 8:42am
d