mutakhir

Lima aspirasi kukuh sistem pendidikan

Kuala Lumpur: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 diselaraskan dengan lima aspirasi sistem yang terkandung dalam PPPM Prasekolah hingga Lepas Menengah bagi mengukuhkan lagi sistem pendidikan negara.

Berdasarkan Ringkasan Eksekutif PPPM (PT) yang dinyatakan, lima aspirasi berkenaan ialah Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan yang ditetapkan dalam pelan itu.

Menjelang 2025, kementerian berhasrat meningkatkan enrolmen pendidikan tinggi, justeru menyediakan akses yang luas diterapkan dalam pelan ini untuk memudahkan semua individu memperoleh kesamarataan pengajian tinggi.

Aspirasi negara untuk memastikan kualiti pendidikan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan kepada lebih 80 peratus menjelang 2025, justeru kualiti graduan, kualiti institusi dan kualiti keseluruhan sistem turut diberi perhatian dalam pelan ini.

Selain itu, dalam negara berbilang kaum, sudah pasti perpaduan amat penting, justeru kementerian komited untuk memastikan enrolmen di institusi pengajian tinggi (IPT) menggambarkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum di Malaysia supaya semua kaum berpeluang mendapat pendidikan sama rata serta memahami nilai bersama.

Sementara itu, kementerian akan terus menjadikan Falsafah Pendidikan Negara sebagai asas kepada pendidikan seimbang untuk membangunkan aspirasi pelajar dengan mengimbangi antara ilmu dan akhlak.

Aspirasi pelajar dalam PPPM (PT) merangkumi enam antribut seperti etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan.

Disiarkan pada: April 8, 2015 @ 8:56am
d