mutakhir

'Usah tambah kekasih saya'

Kuala Lumpur: “Saya dah banyak kali cakap kekasih saya hanya Gayatri dan satu Malaysia sudah tahu benda itu. Yang mereka hendak tambah lagi kekasih saya kenapa?” kata pelakon Zul Ariffin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dia menjalin hubungan secara rahsia dengan pelakon dari Singapura, Elfaeza Ul Haq.

Zul atau Zulkilfi Ariffin, 29, berkata, dakwaan terbaru yang mengaitkannya semula dengan Elfaeza ekoran kemesraan mereka ketika menghadiri Anugerah Bintang Popular BH 2014 pada Ahad lalu adalah perkara yang mengarut.

Katanya, secara logik dia tidak akan melakukan tindakan yang menimbulkan perasaan curiga dan spekulasi di depan khalayak jika hubungan itu berlaku.

“Mana datang pula benda ini (gosip)? Tak adalah (hubungan dengan Elfaeza) sebab saya dengan semua orang sama saja. Sebelum tiba-tiba hendak terjah saya dengan cerita ini, biarlah saya jelaskan kalau di acara itulah menjadi kayu ukur, memang mengarutlah.

“Saya berjumpa dan bergaul dengan ramai kenalan artis pada malam itu. Mana yang saya lebih kenal tentulah bersembang beria-ia, itu saja. Saya tidak ada benda hendak disorokkan pun,” katanya.

Desas-desus mengaitkan Zul dengan Elfaeza, 30, timbul semula apabila beberapa pihak melihat kemesraan mereka yang mencurigakan ketika menghadiri acara anugerah berkenaan.

Susulan itu, timbul spekulasi kononnya Zul dan Elfaeza menjalin hubungan istimewa secara rahsia walaupun kedua-duanya pernah menafikan perkara terbabit.

Sebelum ini, sumber Harian Metro juga pernah menyampaikan sering melihat Zul dan Elfaeza keluar makan bersama di sebuah restoran di kawasan Damansara Perdana, Petaling Jaya dekat sini pada lewat malam.

Gosip yang mengaitkan dua pelakon ini menjadi bualan sejak Jun tahun lalu selepas mereka terbabit dalam penggambaran drama berjudul Janji Adam.

Bagaimanapun, khalayak sedia maklum Zul menjalin hubungan serius dengan penerbit filem, Gayatri Su-Lin Pillai sejak Mei 2012.

Zul berkata, dia pelik kerana segelintir pihak masih membuat spekulasi yang mengaitkannya dengan Elfaeza walaupun perkara itu sudah dijelaskan beberapa kali sebelum ini.

“Yang saya hairan kenapa orang masih bercakap begitu? Padahal tidak ada pun kami lepak (berdua). Kenapa suka-suka main tembak (tuduh), agak-agaklah sebab mengarut saja.

“Kalau orang nak kupas benda macam itu dan kalau ada benda yang saya nak sorok, takkanlah saya nak buat depan orang ramai?

“Orang nak bercakap biarlah, asalkan kita tak buat perkara mengarut (seperti didakwa),” katanya yang bakal muncul dengan drama bersiri Mr Langkawi Ms London.

Disiarkan pada: April 8, 2015 @ 9:07am
d