mutakhir

Pesta hambat ikan

Oleh Nazdy Harun

Kuala Berang: “Aktiviti menghambat ikan atau menangkap ikan di dalam sungai ketika musim kemarau mungkin asing bagi sesetengah masyarakat, namun kepada penduduk Hulu Terengganu, ia bukan asing dan amat dinanti-nantikan,” kata Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Paloh Nyior
Mohd Sharif Jusoh, 55.

Beliau yang ditemui di Pesta Menghambat Ikan KRT Kampung Paloh Nyior, dekat sini, semalam berkata, aktiviti itu dilakukan secara berkumpulan sekurang-kurangnya 20 orang dikenali sebagai mengerau dan lokasinya ialah kawasan sungai yang mempunyai lubuk ikan.

Katanya, menghambat ikan dilakukan pada musim kemarau dan ketika paras air sungai cetek serta jernih bagi membolehkan kelibat ikan dilihat sebelum dihalau ke kawasan pukat yang diletakkan merentasi kedua-dua tebing sungai.

“Sebelum aktiviti menghambat dimulakan, lokasi sesuai serta mempunyai banyak ikan perlu dikenal pasti dan apabila berpuas hati, barulah peserta turun ke sungai untuk membuat persiapan.

“Peserta dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu sebagai tukang hambat (individu yang menghambat ikan dari hulu ke hilir sungai) dan tukang kepung (individu yang mengepung di bahagian depan pukat yang dipasang merentasi sungai bagi mengelak ikan terlepas keluar daripada pukat).

“Peralatan digunakan tukang hambat ialah buluh dibelah dua dengan panjang antara dua hingga tiga meter,” katanya.

Menurutnya, tukang hambat terlebih dahulu akan berada di sebelah hulu dengan jarak lebih 500 meter dari pukat yang dipasang dan akan berjalan beramai-ramai mengikut arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air.

Katanya, lebih jauh tukang hambat berjalan, kemungkinan hasil diperoleh lebih banyak kerana ikan yang lari akibat takut dengan bunyi bising lebih banyak atas faktor jarak.

Mohd Sharif berkata, peranan tukang kepung pula membuat kepungan menggunakan pukat yang siap dipasang bersama buluh dan antara spesies yang biasa diperoleh ialah lampam, sebarau, belida dan teroboi.

“Biasanya selepas selesai aktiviti menghambat ikan dijalankan, golongan perempuan akan memasak hasil diperoleh dan penduduk menjamu selera beramai-ramai berikutan aktiviti ini dilakukan bukan untuk menjual ikan yang diperoleh, tetapi lebih kepada perkongsian rezeki.

“Dengan adanya aktiviti seperti ini, ia dapat mengeratkan persaudaraan dalam kalangan penduduk kampung selain mengekalkan tradisi menangkap ikan cara masyarakat dahulu,” katanya.

Disiarkan pada: April 8, 2015 @ 9:09am
d