mutakhir

Bumbung diratah anai-anai

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Seluruh warga Kolej Vokasional Seberang Perai di Bukit Minyak, di sini, gempar apabila sebahagian bumbung dewan makan pelajar asrama kolej itu runtuh, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8.40 malam itu, terdapat seorang pembantu dewan yang sedang berehat di situ selepas menyelesaikan tugasan dan dentuman kuat bumbung yang menghempap meja makan dan peralatan hingga mengalami kerosakan teruk mengejutkan ramai penghuni.

Pembantu dewan berkenaan dilaporkan hanya cedera ringan akibat terkena serpihan bumbung dan insiden itu tidak membabitkan pelajar yang dikatakan baru selesai menikmati makan malam satu jam sebelum kejadian berlaku.

Menurut sumber, bumbung berkenaan runtuh dipercayai akibat kerangkanya yang diperbuat daripada kayu reput selepas dimakan anai-anai.

Namun, usaha pihak media untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai insiden itu gagal apabila tidak dibenarkan memasuki kawasan kolej berkenaan.

Dewan makan berusia 14 tahun itu dikatakan digunakan kira-kira 1,000 pelajar lelaki dan perempuan yang tinggal di empat asrama di kolej berkenaan.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya negeri berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar runtuhan itu berlaku dan meneliti struktur bangunan yang terjejas secara menyeluruh.

“Jurutera kami dari Majlis Perbandaran Seberang Perai sudah meninjau keadaan bangunan dewan makan itu dan kini dalam proses menyiapkan laporan awal.

“Laporan itu dijangka dikeluarkan paling awal esok (hari ini) dan selepas itu, tindakan susulan akan diambil,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri Datuk Osman Hussain berkata, beliau tidak dapat menjelaskan mengenai insiden itu secara terperinci memandangkan kolej berkenaan bukan di bawah pengurusan pihaknya, sebaliknya diselia Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 8:35am
d