mutakhir

Kilas tohmahan

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar

Butterworth: Tempoh yang ada akan dimanfaatkan UMNO Bahagian Permatang Pauh dengan sebaik mungkin untuk menjelaskan mengenai kebaikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pengundi di kawasan itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said berkata, penjelasan itu penting supaya isu GST tidak berterusan dijadikan senjata kempen pakatan pembangkang untuk meracuni fikiran pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu memainkan peranan termasuk memanfaatkan tempoh dua minggu masa berkempen untuk memberi kefahaman berhubung isu itu kepada rakyat.

“Kami akan melaksanakan strategi kempen dari rumah ke rumah kerana ia lebih berkesan berbanding menganjurkan program besar yang menelan peruntukan tinggi. Saya percaya kami tidak berdepan masalah dari aspek persiapan kerana jentera kami sudah lama bersedia.

“Namun, BN perlu menggandakan usaha untuk menepis tuduhan pembangkang terutama berkenaan isu GST dan kami berharap dalam tempoh yang ada ini, rakyat sudah boleh menerima dan faham mengenai kebaikan pelaksanaan cukai itu untuk masa depan negara,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Zaidi berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka berkunjung ke Permatang Pauh, Ahad ini, untuk meninjau persediaan dan persiapan jentera parti.

“Insya-Allah, kami akan melancarkan jentera kempen pada 19 April ini dan seterusnya menggandakan misi kempen sehingga ke hari mengundi,” katanya.

Mengulas mengenai potensi BN, Mohd Zaidi berkata, walaupun kerusi parlimen itu adalah kubu kuat pakatan pembangkang, BN masih mempunyai peluang terutama menarik undi ahli PAS di kawasan berkenaan.

“Kemelut antara DAP dan PAS sedikit sebanyak membuka peluang kepada kami untuk mendapatkan semula undi ahli PAS terutama di kawasan DUN Permatang Pasir, selain berharap dapat meningkatkan sokongan pengundi Cina,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 9:44am
d