mutakhir

CGPA bersepadu universiti awam

Bangi: Universiti Awam (UA) seluruh negara akan melaksanakan sistem dikenali sebagai purata nilai gred kumulatif (CGPA) bersepadu dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi memastikan graduan dilahirkan cemerlang dalam akademik, kokurikulum serta nilai diri.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, ketika ini, pencapaian mahasiswa hanya diukur berdasarkan akademik iaitu melalui CGPA diperoleh hasil ujian dilalui.

“Jika ini diteruskan, ia mungkin tidak mampu membantu merealisasikan objektif digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi)-PPPM (PT) 2015-2025 yang mahu graduan dilahirkan bersifat holistik, berkemahiran serta mempunyai nilai diri tinggi.

“CGPA bersepadu ini membabitkan kecemerlangan akademik, sahsiah, kokurikulum selain sosial dan akan dijadikan penanda aras kepada graduan sama ada mereka lulus cemerlang atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Ekspo Kerjaya UKM 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini, semalam yang turut dihadiri Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Menurut Idris, belum ada acuan mengenai CGPA bersepadu ini, namun pengurusan UA sedang melakukan analisis untuk mengukur keberkesanannya.

“Perlu ada ujian serta analisis berkaitan keberkesanannya serta kemampuannya untuk berinteraksi dengan sistem sedia ada.

“Kita akan jalankan kajian dulu dan apabila semuanya benar-benar berjaya maka kita akan perkenalkannya di seluruh UA,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata, Kementerian Pendidikan akan terus membantu UA dalam bentuk bantuan kewangan, namun ia bergantung kepada produktiviti serta kecekapan UA berkaitan.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 9:56am
d