mutakhir

'Disergah' kali kedua

Nibong Tebal: Kemalangan menimpa Samsul Yahya, 31, dan anak perempuannya, Nur Qasrina Syasha, 16 bulan, yang cedera selepas disergah anjing kejadian kali kedua menimpa dua beranak itu dalam tempoh setahun.

Isteri Samsul, Norhayati Mat Saleh, 31, berkata, sebelum ini suaminya pernah menempuh detik cemas apabila Nur Qasrina Syasha terjatuh ke atas jalan berikutan suaminya terkejut dan terjatuh akibat disergah haiwan itu hingga menyebabkan kecederaan di kaki, April tahun lalu.

Beliau berkata, akibat kejadian terbabit, bahagian belakang kepala anaknya yang ketika itu baru berusia empat bulan bengkak, namun bernasib baik kerana tidak cedera serius selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Ketika itu suami sedang mengendong anak kami, namun secara tiba-tiba seekor anjing menghampirinya dan menyalak menyebabkan Nur Qasrina terlepas dari kendongan dan terjatuh ke atas jalan.

“Suami pula terjatuh dan cedera di kaki, namun kerana risau anak kami dicederakan haiwan itu, dia terus mendapatkan Nur Qasrina dan berlari menyelamatkan diri,” katanya.

Berikutan kejadian terbaru malam kelmarin, Norhayati dan penduduk di Taman Seri Bayu, Bukit Panchor, di sini, mendesak pihak berkuasa meningkatkan pemantauan dan operasi bagi mengawal anjing liar di kawasan itu.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Loh Joo Huat berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan segera termasuk melancarkan operasi menangkap anjing liar bermula petang semalam.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius masalah anjing liar dan sentiasa melakukan pemantauan selain bakal melancarkan program pemandulan haiwan berkenaan bagi mengawal jumlah haiwan tidak bertuan itu.

“Terbaru, operasi menangkap anjing liar dilakukan Februari lalu dan kami akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan hanya anjing yang mempunyai lesen sahaja dipelihara di kawasan perumahan mengikut syarat ditetapkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 10:20am
d