mutakhir

Masuk longkang dikejar anjing

Oleh Wan Azrin Syahirah Mior Zulkifli dan Syamimi Jamil

Nibong Tebal: “Hati saya merasa ada yang tidak kena selepas terdengar bunyi dentuman di luar rumah diikuti laungan ‘Ya Allah’.

“Ketika itu, saya dapat merasakan anak saya ditimpa kecelakaan kerana kenal itu suaranya,” kata Latifah Embi, 57, menceritakan detik cemas anak lelaki dan tiga cucunya tercampak ke dalam longkang selepas motosikal ditunggang terbabas gara-gara cuba mengelak dikejar anjing liar, kelmarin.

Ketika kejadian jam 7 malam di Taman Seri Bayu, Bukit Panchor, di sini, Latifah berada di rumahnya yang terletak 10 meter dari tempat kejadian menyebabkan dia terus berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Dia tergamam selepas mendapati anak lelakinya, Samsul Yahaya, 31, berada di dalam longkang bersama cucunya, Nur Qasrina Syasha, 16 bulan, yang meraung kesakitan dengan badannya berlumuran darah.

Dua lagi cucunya yang membonceng motosikal sama iaitu anak Samsul, Syamimi dan anak saudara Samsul, Nurul Ain Kasrul Anuar, masing-masing berusia lima tahun, turut berada di dalam longkang, namun tidak cedera serius.

Ketika kejadian, Samsul menunggang motosikal Yamaha Lagenda manakala Nur Qasrina Syasha duduk di dalam bakul depan, Syamimi di belakang Samsul dan Nurul Ain paling belakang.

Samsul dalam perjalanan ke rumah Latifah untuk menghantar Nurul Ain selepas mereka beriadah di taman permainan berhampiran.

“Saya terjun ke dalam longkang separas pinggang itu untuk menyelamatkan cucu terutama Nur Qasrina Syasha yang ketika itu berlumuran darah akibat luka di pipi serta dagu selain mukanya bertukar biru menyebabkan saya bertambah cemas.

“Samsul pula dalam keadaan mengerang kesakitan, namun ketika itu saya mengutamakan cucu dan memeriksa ketiga-tiganya kerana risau sekiranya mereka cedera serius,” katanya.

Latifah berkata, dalam keadaan cemas, dia mengarahkan Syamimi dan Nurul Ain memanjat tebing longkang itu, namun mereka tidak berdaya kerana masih dalam keadaan bingung menyebabkan dia membantu menolak kedua-duanya naik ke tebing sebelum dibawa masuk ke dalam rumahnya.

Menurutnya, selepas itu dia membantu Samsul yang ketika itu dalam keadaan separuh sedar keluar dari longkang, namun anaknya itu enggan dibantu berikutan merasa sakit pada seluruh badan berikutan tulangnya patah.

Dia bagaimanapun lega apabila menantunya, Norhayati Mat Saleh, 31, yang dihubungi tiba beberapa minit kemudian dan mereka terus memberikan kata-kata semangat untuk memastikan Samsul terus sedar serta keluar dari longkang itu.

“Mujurlah 10 minit kemudian, dia keluar daripada longkang itu menggunakan kudratnya sendiri dan kami membantunya masuk ke dalam kereta dan dikejarkan ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 10:21am
d