mutakhir

Bapa 'Gadis Myvi' nafi tuduhan

Shah Alam: Bapa kepada kumpulan ‘Gadis Myvi’ yang terbabit dalam insiden pergaduhan dengan pemandu teksi pada 29 Mac lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Syed Fareid Yahya, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Shakinah Ahmad Kamaruddin.

Berdasarkan fakta kes, Syed Fareid didakwa menyebabkan cedera atas bangkitan marah dan mengejut ke atas Azmi Mat Mokhtar, 54, jam 4.30 petang pada 29 Mac lalu di pejabat pertanyaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Dia didakwa di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya N Panimallah manakala Syed Fareid diwakili peguam bela Azad Bashir dan Sarah Mohd Ali.

Dalam prosiding semalam Panimallah memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 kepada Syed Fareid, namun Azad meminta ia dikurangkan berikutan Syed Fareid menanggung isteri serta empat daripada tujuh anaknya.

Nor Shakinah menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 April ini.

Isnin lalu, Azmi yang juga pemandu teksi dihadapkan di mahkamah sama atas empat tuduhan iaitu didakwa mengakibatkan kerosakan kereta Perodua Myvi milik Sharifah Fara Difla Syed Fareid, 28, manakala tiga tuduhan lain ialah menumbuk dan menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik iaitu Sharifah Fara Difla; Sharifah Fara Afzan, 27; dan Sharifah Fara Ryyana, 24.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 11:56am
d