mutakhir

Pelajar terpaksa cuti bergilir

Senawang: Sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) 300 pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Senawang (SKS), di sini, terjejas apabila sebahagian besar bumbung di Blok A yang menempatkan kelas mereka diterbangkan ribut, malam kelmarin.

Ribut luar biasa bermula jam 7 malam itu menyebabkan bumbung berkenaan diterbangkan sejauh kira-kira 300 meter ke kawasan padang sekolah.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata, kejadian itu turut merosakkan sebahagian kecil bumbung bangunan lain dan dewan sekolah.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu, lapan kelas tahun enam terpaksa dipindahkan ke kelas lain bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terjejas.

“Sebagai langkah awal, kelas bagi pelajar tahun satu dan dua terpaksa diubah dengan pelajar terbabit diberikan cuti bergilir selama dua hari bermula esok (hari ini) berikutan Blok A yang menempatkan pelajar tahun enam ini terpaksa dikosongkan atas faktor keselamatan.

“Bangunan berkenaan rosak teruk terutama pada bahagian atap dan kita sudah minta kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat penilaian terhadap kerosakan untuk dimajukan kepada Kementerian Pendidikan.

“Semua peralatan berharga di bangunan berkenaan juga akan dipindahkan ke bangunan lain demi keselamatan, manakala bagi aktiviti pembersihan kita sudah melantik kontraktor kecil untuk melakukannya yang dijangka selesai dalam tempoh dua hari bermula hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui ketika melawat sekolah berkenaan, semalam.

Menurutnya, kerja membaiki struktur bangunan Blok A berkenaan akan diberikan keutamaan untuk disiapkan selepas JKR membuat taksiran kerosakan, namun ia mungkin mengambil sedikit masa.

Katanya, pihak sekolah dibenarkan menggunakan bangunan lain seperti perpustakaan dan surau bagi menampung lapan kelas tahun enam sekali gus memastikan sesi pembelajaran kepada semua 1,231 pelajar sekolah itu berjalan seperti biasa bermula Isnin ini.

“Keutamaan kita untuk memastikan sesi P&P pelajar tidak terjejas dan kemudahan padang untuk aktiviti kokurikulum dapat digunakan,” katanya.

Mengulas lanjut kejadian ribut berkenaan Pkharuddin berkata, SKS adalah antara empat sekolah di negeri itu yang terbabit selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang, SMK Dato Mansor di Bahau dan SMK Syed Tunku Idrus di Tampin.

Disiarkan pada: April 9, 2015 @ 12:03pm
d