mutakhir

100 PATI buka langkah seribu

Selayang: Lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mendiami rumah setinggan di sekitar Sungai Kanching, di sini, bertempiaran lari selepas kediaman mereka diserbu sepasukan unik khas Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pagi semalam.

Serbuan kira-kira jam 9 pagi yang disertai anggota Jabatan Sisa Pepejal MPS itu membabitkan operasi meroboh sebanyak 40 rumah setinggan yang didiami secara haram oleh pendatang asing terbabit.

Timbalan Yang DiPertua (YDP) MPS Juhari Ahmad berkata, operasi berkenaan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung kehadiran warga asing dari Bangladesh dan Indonesia di sekitar kawasan berkenaan.

Menurutnya, warga asing ini bukan saja mendirikan rumah secara haram, malah turut menjalankan kegiatan membuang sampah dan sisa kumbahan terus ke sungai berhampiran.

“Kami terima banyak aduan mengenai kegiatan membuang sampah secara berleluasa oleh warga asing yang mendiami sekitar kawasan di situ. Selain sampah, mereka juga didakwa membuang sisa kumbahan seperti najis terus ke dalam sungai berkenaan.

“Oleh itu tindakan merobohkan adalah jalan terbaik untuk mengusir pendatang asing terbabit,” katanya katanya ketika ditemui selepas menjalankan ‘Ops Setinggan’, di sini, semalam.

Disiarkan pada: April 10, 2015 @ 9:00am
d