mutakhir

Solat suatu nikmat teragung daripada Allah

Oleh Dr Azman Che Mat

Solat adalah rukun Islam. Solat bagi umat terdahulu disebut dalam al-Quran. Namun, tidaklah kita ketahui bagaimana sifatnya kecuali sedikit.

Bagaimanapun, perincian solat umat Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dengan begitu sempurna sekali.

Ia lengkap seperti yang direkodkan dalam riwayat dan sunah. Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Dirikanlah solat sebagaimana kamu melihat aku mendirikannya.”

Meskipun ada perbezaan dalam beberapa hal furuk, matlamat dan roh solat ialah pengabdian kepada Allah SWT.

Solat bukanlah amalan yang bersifat ibadat jasmani dengan bacaan tertentu sahaja. Ia melangkaui kedua-dua aspek ini.

Oleh kerana itu, kesempurnaan solat mempunyai tingkatan mengikut tahap khusyuk dan keimanan seseorang. Tanpa diragui lagi, solat yang terbaik dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Penghuraian mengenai solat dari sudut yang berbeza pernah ditulis oleh ulama Nusantara yang tidak asing lagi iaitu Hamka dalam karya beliau yang berjudul Renungan Tasawuf: Manisnya Iman.

“Pada solat itu ada tali Allah, ada tali manusia iaitu dimulai dengan Allah dengan mengucapkan takbir dan disudahi dengan manusia iaitu mengucapkan salam kepada jemaah di sebelah kanan dan di sebelah kiri.

“Oleh kerana itu lebih afdal solat berjemaah daripada solat sendiri-sendiri, dengan berpahala 27 kali ganda.”

Selanjutnya beliau mentamsilkan proses solat itu dengan menulis: “Seperti sebuah kapal terbang melayang naik bersiap dari mula dia berdiri tegak betul setelah kapal terbang dikeluarkan dari garajnya dimasukkan ke dalam landasannya.

“Enjin dihidupkan, niat dipasang, dia terbang melayang; Allahuakbar, Allah Maha Besar, kota Jakarta sudah kecil.

“Naik lagi, Pulau Jawa pun kecil. Naik lagi, dunia pun kecil, dia laksana satu pasir di antara berjuta-juta bintang, naik ke atas sekali ke Allahuakbar.”

Untuk menerangkan sifat khusyuk solat, beliau terus menulis lagi: “Bumi ini menarik ke bawah, dengan kekuatan tenaga Allahuakbar dia naik, kemudian dia khusyuk, sesudah dia khusyuk dia lepas dari alam atmosfera.

“Tadinya dia mencari Allah, sekarang Allah menjemput dia. Itulah tingkat kekhusyukan solat.”

Apabila solat selesai, maka dia harus kembali ke dalam masyarakat. Sebab hakikatnya manusia perlu meneruskan kehidupan.

Bagi menerangkan hal ini, Hamka menulis: “Sesudah itu dia turun, kembali turun. Landing. Landing, berhenti enjin, assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh - dua kali, langsung kembali ke masyarakat.”

Ringkasnya, ibadat solat itu bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan. Ia mengambil masa sekitar lima hingga 10 minit saja.

Namun, masih ramai yang berasa berat untuk mendirikannya. Bahkan, Allah SWT juga mengingatkan manusia bahawa ramai yang bersolat, tetapi lalai dalam solatnya.

Firman-Nya bermaksud: “Celakalah orang yang bersolat itu iaitu mereka yang lalai dalam menyempurnakan solatnya.” (Surah al-Ma’un, ayat 4 dan 5)

Sesetengah ulama berpendapat ‘lalai’ itu ialah tidak khusyuk dalam mengerjakan solatnya.

Dengan mendirikan solat, seseorang itu sebenarnya menunaikan hak Allah dan masyarakat.

Solat adalah satu nikmat yang agung. Tanpa sebarang perantara, manusia dapat berhubung terus dengan Penciptanya.

Namun, ilmu amat diperlukan untuk memastikan solat didirikan itu sempurna.

Oleh itu, marilah berdoa seperti doa Nabi Ibrahim: “Ya Allah jadikanlah aku hamba-Mu yang mendirikan solat dan begitu juga dengan zuriatku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Penulis Profesor Madya di UiTM Terengganu

Disiarkan pada: April 10, 2015 @ 10:41am
d