mutakhir

Misi diteruskan

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Usaha pencarian ahli perniagaan rakyat Malaysia Dennis Lee Thian Poh, 47, yang hilang ketika mendaki banjaran Himalaya masih diteruskan dengan bantuan 15 anggota polis tempatan bersama penduduk kampung dan tiga anjing pengesan.

Pemangku Duta Besar Malaysia ke Nepal Fadli Adilah semalam berkata, isteri mangsa Jennifer Eileen Peters Lee kembali ke lokasi kejadian pada pagi semalam dengan menaiki helikopter.

Menurutnya, isteri mangsa turut mengambil inisiatif dengan menggunakan khidmat syarikat pengesan swasta, yang mempunyai anjing pengesan terlatih, sejak ketibaan beliau di Pokhara, kelmarin.

“Risalah makluman mengenai kehilangan mangsa juga mula diedarkan semula pagi ini di sekitar kawasan lokasi kejadian kepada penduduk kampung sekitar.

“Pasukan pengesan juga mengedarkan risalah kepada kumpulan pendaki lain yang melalui kawasan berkenaan untuk pencarian lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.

Menurutnya, pihak kedutaan akan terus bekerjasama dengan pasukan polis Nepal di Kathmandu dan di Pokhara bagi memantau usaha pencarian berkenaan.

Disiarkan pada: April 11, 2015 @ 5:39am
d