mutakhir

Terima lebih 10,000 aduan

Kuala Lumpur: Sebanyak 190 tindakan kes diambil sepanjang 10 hari Ops Catut Fasa II dijalankan bermula 1 April lalu susulan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata, pelbagai kesalahan peniaga direkodkan dalam operasi itu antaranya tiada tanda harga, mencatut dalam penjualan serta harga yang mengelirukan.

“Tindakan kes diambil mengikut empat akta berbeza iaitu Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Kita juga melaksanakan 31 operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui KPDNKK negeri sepanjang 10 hari pertama GST dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Secara keseluruhan, sebanyak 70,265 pemeriksaan sudah dilakukan dalam tempoh sama di premis perniagaan seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 481 notis Seksyen 21 AKHAP 2011 dikeluarkan kepada peniaga bagi mendapatkan penjelasan dan justifikasi punca kenaikan harga atau caj perkhidmatan yang tidak munasabah di pasaran.

Sehubungan itu, Hasan menggesa rakyat untuk terus menyalurkan maklumat sekiranya didapati harga barang lebih-lebih lagi bagi produk yang terkecuali daripada GST dijual pada harga tidak munasabah.

“Maklumat orang ramai sangat penting. Meskipun operasi dilakukan setiap hari, maklumat pengguna membolehkan kami terus ke premis yang tepat untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya,” katanya.

Sehingga semalam (kelmarin), kementerian menerima hampir 10,000 aduan menerusi sistem e-aduan dan media sosial tidak termasuk lebih 4,000 panggilan ke Pusat Gerakan Antipencatutan (PGAP) 71,426 semakan melalui aplikasi MyKira GST.

Antara aduan berkenaan, pembelian kad tambah nilai telefon bimbit yang dikenakan GST, kenaikan harga susu tepung bayi dan lampin pakai buang bayi dan resit tiada nombor ID GST tetapi mengenakan caj GST.

Sementara itu, tinjauan di beberapa pasar raya terkemuka mendapati harga bagi barang yang tidak dikenakan GST, khususnya makanan masih terkawal seperti ayam dijual pada harga RM6.99 seekor.

Bagaimanapun, buah-buahan terutama import masih tinggi misalnya anggur hijau yang dijual pada harga RM10 untuk 500 gram, manakala stok bagi barang seperti lampin pakai buang bayi didapati berkurangan di beberapa pasar utama.

Disiarkan pada: April 12, 2015 @ 5:13am
d