mutakhir

GST dicampur SST

Oleh Syafiq Aznan

Shah Alam: Kebanyakan peniaga masih belum memahami prosedur operasi standard (SOP) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang.

Sehubungan itu, kerajaan bersedia untuk terus memberi penjelasan kepada peniaga melalui kursus dan penerangan supaya mereka memahami SOP sebenar yang digunakan untuk melaksanakan GST ke atas perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, pemahaman terhadap asas SOP GST kepada peniaga itu penting supaya dapat membendung daripada tindakan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati.

“Sebagai contoh, kenaikan harga barang yang dialami pengguna berpunca daripada peniaga yang mencampurkan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) dengan GST sedangkan SOPnya ialah menolak SST terlebih dulu kemudian mencampurkan enam peratus GST kepada barangan terbabit.

“Atas sebab itu, kita melihat harga barangan di kebanyakan pasar raya besar dan rantaian makanan segera tidak mengalami kenaikan harga kerana pengusahanya memahami asas SOP GST ini,” katanya ketika ditemui dalam Program Budaya Ilmu Penerangan GST dan Isu Semasa di Universiti Teknologi MARA, di sini, semalam.

Lebih 2,000 pelajar hadir pada sesi dialog yang memberi penjelasan dengan lebih mendalam berhubung isu GST selain turut menjawab pelbagai permasalahan yang dihadapi akibat cukai terbabit.

Ahmad berkata, kursus penerangan berhubung asas SOP GST juga akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya peniaga mendapat pengetahuan dan menjadi peniaga yang beretika ketika melaksanakan GST.

“Kita akan menunjukkan contoh kesilapan yang dilakukan peniaga lain ketika melaksanakan GST supaya mereka tidak mengulangi kesalahan sama.

“Malah, berdasarkan semua aspek SOP GST yang diwujudkan itu, harga barangan tidak sepatutnya naik, jadi peniaga seharusnya menjadi peniaga yang beretika dan tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya.

Ahmad berkata, pengguna juga perlu menambahkan lagi maklumat kepenggunaan supaya menjadi pengguna yang bijak.

“Gunakan konsep 3M (memilih, melapor dan memboikot) kepada peniaga yang menaikkan harga barangan sesuka hati kerana pengguna mempunyai kuasa untuk menentukan harga,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2015 @ 5:13am
d