mutakhir

'Ninja' acu parang

Oleh Siti Nadzirah Che Mud

Machang : Seorang pengawal keselamatan berdepan detik cemas apabila lehernya diacu parang panjang oleh tiga penjenayah bertopeng yang memecah masuk Pusat Latihan Memandu Machang, di sini, awal pagi semalam.

Suspek turut memecah peti besi syarikat dan melarikan wang tunai berjumlah RM17,983 selain kamera litar tertutup.

Kejadian berlaku jam 2.30 pagi ketika mangsa Abdul Rahman Hamat, 64, baru memasuki pejabat selepas selesai melakukan rondaan rutin di sekitar pusat latihan itu.

Katanya, sebelum itu dia tidak mengesan sebarang kelainan sehingga tiga penjenayah itu muncul dan mengacukan parang di lehernya sebagai isyarat tidak membuat bising.

“Mereka juga mengikat tangan dan kaki saya, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

“Saya tak mampu buat apa-apa melainkan ikut saja arahan mereka. Saya mendengar mereka bercakap dengan dialek warga Indonesia.

“Muka mereka ditutup seperti ninja. Dua orang geledah pejabat dan memecahkan peti besi yang menyimpan wang tunai hasil kutipan harian, manakala seorang lagi mengawasi saya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rakan Abdul Rahman, Norzie Abdul Rahman, 34, berkata, insiden itu kali ketiga berlaku di pusat latihan berkenaan dengan sebelum ini pada 2002, namun tiada barangan yang hilang.

“Saya rasa kemungkinan rompakan ini dirancang kerana penjenayah terbabit mengetahui rutin pengawal keselamatan,” katanya.

Menurutnya, mereka bukan saja membawa parang panjang, malah mesin untuk memecahkan peti besi terbabit.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, siasatan awal mendapati suspek mengumpil pintu pejabat untuk masuk dan menebuk peti besi terbabit sebelum melarikan diri.

“Suspek juga disyaki warga Indonesia berdasarkan dialek yang digunakan, bertopeng dan berbadan kecil,” katanya.

Beliau menasihati peniaga supaya tidak meninggalkan wang perniagaan yang banyak di kedai atau pejabat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat.

Disiarkan pada: April 12, 2015 @ 5:15am
d