mutakhir

96 pelajar kita di Yaman menuju Oman

Kuala Lumpur: Seramai 96 pelajar Malaysia yang berada di Hadhramaut, Yaman sudah berjaya dikeluarkan menaiki dua buah bas dan kini, menuju ke Oman sebelum dibawa pulang ke Malaysia.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Yaman (PERMAYA) Muhammad Nasiruddin Othman dalam satu kenyataannya berkata, beliau dimaklumkan bahawa misi itu berjaya disempurnakan.

“Bagaimanapun, situasi agak berbeza di Aden (Yaman) apabila proses untuk membawa keluar pelajar yang berada di sana sedikit terhalang berikutan keadaan yang tidak selamat.

“Saya dimaklumkan oleh wakil PERMAYA memberitahu bahawa kawasan pelabuhan di Aden sedang berperang dan tidak selamat untuk proses pengeluaran pelajar kita,” katanya.

Muhammad Nasiruddin dalam kenyataan itu berkata, pelajar tempatan di Aden sudah bersedia untuk dibawa keluar sejak tengah hari semalam (kelmarin), namun keadaan terkini menghalang proses itu.

Beliau turut menasihatkan kepada ibu bapa serta keluarga pelajar supaya bersabar dan terus mendoakan keselamatan pelajar tempatan yang berada di negara itu sementara proses evakuasi sedang berlangsung.

Pada masa sama, Kementerian Luar dalam satu kenyataannya memaklumkan seramai 94 lagi rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Yaman dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi.

Kenyataan itu juga memaklumkan semua mereka menaiki penerbangan Oman Air, WY 821 (Muscat-KLIA).

Sebelum itu, Kementerian Luar bersama agensi kerajaan berkaitan berusaha menggunakan peluang dan saluran yang ada untuk melaksanakan proses evakuasi membawa keluar rakyat Malaysia dari Hadhramaut dan Aden.

Sehingga kelmarin, seramai 158 rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 dan 8 April lalu.

Pada Selasa lalu, seramai 121 rakyat Malaysia dari Sana’a dan Hodeidah di Yaman selamat tiba di KLIA menaiki empat penerbangan berbeza diikuti ketibaan 37 orang lagi menaiki tiba pesawat berlainan pada Rabu lalu.

Disiarkan pada: April 12, 2015 @ 5:19am
d