mutakhir

Impian tercapai

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Harapan lebih 10 tahun penduduk Kampung Parit Abu Hassan, Alor Pongsu, Bagan Serai di sini, untuk memiliki surau baru termakbul apabila projek pembinaan semula surau Nurul Hasaniah menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) 2015, siap sepenuhnya pada Mac lalu.

Majlis perasmian surau itu disempurnakan Orang Besar Jajahan Kerian Toh Muda Orang Kaya-Kaya Laksamana Raja Mahkota, Datuk Meor Redwan Mahayuddin, di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar serta Pengarang Eksekutif Edisi Hujung Minggu dan Rencana merangkap Pengerusi TKHM, Othman Mamat, selain ahli jawatankuasa program.

Meor Redzuan dalam ucapan perasmian berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada pengerusi dan ahli jawatan kuasa surau Nurul Hasaniah kerana dalam penantian mereka untuk melihat surau asal dibina baru, Harian Metro (HM) tampil memberi harapan baru kepada seluruh penduduk di sini.

Menurutnya, doa penduduk kampung untuk memiliki surau baru bagi menggantikan surau lama yang uzur terlaksana apabila ia mendapat perhatian penuh HM yang menjadi penyumbang besar kepada dana pembinaan surau baru ini.

"Selain sumbangan HM, Datuk Sham Mat Sahat juga menunjukkan komitmen besar kepada penduduk di sini apabila dia menambah peruntukkan RM30,000 sumbangan kerajaan negeri sebagai kos tambahan pembinaan surau ini.

"Selain itu juga, saya difahamkan beberapa individu bermurah hati menyumbang dalam bentuk wang ringgit dan barangan terhadap pembinaan surau ini.

"Saya berharap semua masyarakat dapat memelihara kesucian surau yang indah ini dengan memperbanyakkan majlis ilmu yang dapat membentuk keperibadian murni setiap kariah," katanya ketika merasmikan surau berkenaan, di sini, semalam.

Sementara itu, Mustapa dalam ucapannya berkata, perasmian surau itu lebih bermakna apabila ia diadakan serentak dengan sambutan ulang tahun ke-24 akhbar Harian Metro pada 25 Mac lalu.

Beliau berkata, pihaknya berterima kasih kepada qariah dan penduduk kampung yang memberi sokongan dan kerjasama dalam merealisasikan pembinaan surau baru ini.

"Bagi Harian Metro, saya sebenarnya teruja dan gembira apabila projek pembinaan surau pertama Harian Metro ini membuktikan komitmen tinggi kami menerusi Program Tanggungjawab Sosial (CSR).

"Selain itu, menerusi program CSR program TKHM 2015, kami membaik pulih surau di Kemaman, Terengganu.

"Malah, sejak awal tahun ini pihak kami juga menjalankan beberapa program amal seperti membantu mengagihkan keperluan kepada mangsa banjir di Kelantan, Pahang serta di kawasan Lambor, Bota, Perak sekitar Februari lalu diikuti program pembinaan surau ini," katanya.

Sebelum ini, keadaan surau berusia 50 tahun itu yang semakin uzur dan reput mendapat perhatian Harian Metro untuk membina semula surau itu.

Pembinaan semula surau baru berkenaan membabitkan kos RM110,000 dengan sebahagian besar dibiayai Tabung TKHM 2015.

Projek membina semula surau itu dijalankan pada Januari lalu dan mengambil masa kurang tiga bulan untuk disiapkan. Surau baru itu memuatkan 500 jemaah pada satu masa.

Program berbentuk amal kebajikan adalah sebahagian daripada usaha merapatkan hubungan warga kerja Harian Metro dengan masyarakat khususnya pembaca.

Semasa majlis perasmian, Harian Metro menganjurkan majlis tazkirah dan tahlil serta doa selamat sempena ulang tahun ke-24 akhbar Harian Metro.

Gotong-royong untuk membersihkan surau baru itu diadakan pada sebelah pagi.

Harian Metro juga menyumbang seekor lembu untuk diadakan jamuan kenduri pada waktu tengah hari.

Selain itu, HM juga menyampaikan sumbangan barangan asas keperluan dapur kepada penduduk di Kampung Parit Abu Hassan.

Disiarkan pada: April 12, 2015 @ 5:23am
d