mutakhir

'Sudah tidak selamat didiami'

Oleh Alias Abd Rani

Sibu: “Daripada pengamatan kami, rumah itu sudah tidak selamat didiami tetapi kami (bomba) kena tunggu JKR (Jabatan Kerja Raya) mengumumkan perkara itu,” kata Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Farhan Sufyan Borhan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tahap keselamatan struktur bangunan rumah pangsa Teres Garden, Jalan Sibu Jaya di sini, yang rosak akibat letupan dipercayai berpunca tong gas bocor ketika penghuninya menghidupkan suis lampu, kelmarin.

Menurutnya, walaupun tiada pergerakan terhadap struktur bangunan itu sepanjang siasatan dijalankan, namun pihaknya mendapati kerosakan teruk akibat letupan itu menyebabkan rumah tidak selamat didiami.

“Bagaimanapun, terserah kepada JKR yang kini dalam proses menyiapkan laporan berhubung status rumah pangsa itu. Buat sementara waktu, semua penghuni dipindahkan ke Dewan Serbaguna Majlis Daerah Luar Bandar Sibu,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi kelmarin, 11 penghuni cedera ringan termasuk seorang melecur 52 peratus dipercayai akibat terkena percikan api daripada letupan tong gas bocor di sebuah rumah yang dijadikan kedai runcit di tingkat satu.

Letupan kuat itu turut menyebabkan dinding dan siling rumah di tingkat satu dan dua runtuh selain tingkap pecah serta berlaku kerosakan lain.

Rumah berkenaan dipercayai dijadikan kedai runcit secara haram dan letupan berlaku membabitkan tujuh tong gas yang disimpan dalam premis berkenaan.

Letupan kuat itu menyebabkan enam rumah rosak teruk dengan seorang penghuni lelaki melecur tetapi tiada kematian dilaporkan.

Siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah dan kejadian berlaku dipercayai akibat letupan tong gas.

Rumah pangsa itu mempunyai 80 unit dengan penghuninya masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara menunggu laporan terkini pihak berkuasa.

Disiarkan pada: April 13, 2015 @ 10:12am
d