mutakhir

Enam bot dalam sehari

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan rampasan bernilai lebih RM5 juta termasuk sepucuk pistol serta 48 biji pil kuda dalam satu daripada enam bot nelayan asing yang ditahan ketika dua rondaan.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Maritim 9 negeri Laksamana Pertama Maritim Xavier Thevadas berkata, semua bot terbabit ditahan berhampiran pelantar minyak Guntung Alpha iaitu 115 batu nautika dari pantai daerah ini antara jam 6.30 pagi hingga 3 petang, Jumaat lalu.

“Dalam operasi pertama, kami menahan dua bot Thailand ketika memuatkan minyak diesel dan peralatan khas untuk menyalurkan minyak secara haram membabitkan seramai 13 awak-awak berasal dari Thailand dan Kemboja.

“Dua bot itu berjaya dibawa ke jeti kira-kira jam 12 tengah hari semalam (kelmarin) dan pemeriksaan dijalankan mendapati masing-masing membawa 120,000 liter minyak diesel. Kami juga menemui sepucuk pistol PX4 Storm bersama 10 butir peluru, 48 biji pil kuda dan wang Singapura berjumlah S$54,000.

“Kecekapan anggota APMM membolehkan mereka ditahan tanpa kejadian tidak diingini berlaku,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Pulau Kambing di sini, semalam.

Beliau berkata, pada hari sama, empat lagi bot Vietnam ditahan kerana menangkap ikan secara haram.

“Siasatan terhadap bot Vietnam itu menemui 5.1 tan metrik hasil laut daripada empat bot terbabit yang dinaiki 29 awak-awak dan tekong bot berusia 17 hingga 55 tahun.

“Semua mereka akan didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 15(1)(a) yang mana jika sabit kesalahan, tekong akan didenda RM1 juta seorang atau penjara manakala awak-awak didenda RM100,000 seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun.

“Bagi kesalahan lain, mereka disiasat mengikut Akta Senjata Api 1971, Akta Dadah berbahaya 1952 dan Akta Kawalan Bekalan,” katanya.

Menurutnya, tangkapan itu adalah kejayaan besar bagi tahun ini apabila sebuah kapal peronda maritim berjaya menahan enam bot dalam sehari.

“Ini kali pertama kami menemui senjata api dan dadah yang dibawa nelayan asing dan bersyukur kerana tiada pergelutan ketika operasi,” katanya.

Disiarkan pada: April 13, 2015 @ 10:24am
d