mutakhir

RTC nyata dapat sambutan

Oleh Asrizal Aris dan Mohamad Zulhairie Monzaidie

Konsep Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang mendapat sambutan daripada masyarakat luar bandar, didapati amat berjaya dan sekali gus menunjukkan penubuhannya sebagai salah satu usaha kerajaan membantu mereka yang tinggal di luar bandar di peringkat lebih besar mencapai matlamatnya.

Sebagai contoh, penubuhan RTC di Tunjung, Kelantan menunjukkan impak memberangsangkan dengan nilai jualan RM284 juta dan bilangan pengunjung melebihi 4.1 juta orang sejak dilancarkan pada 2012.

Sehingga tahun lalu pula, nilai jualan yang dicatatkan di tujuh RTC adalah RM476 juta, manakala bilangan pengunjung dicatatkan seramai 7.8 juta orang.

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ibrahim Muhammad berkata, kejayaan sesebuah RTC tidak boleh hanya dinilai melalui jumlah kehadiran pengunjung atau nilai jualan diperoleh semata-mata, sebaliknya kejayaan sebenar RTC turut bergantung kepada kejayaan pelaksanaan lapan inisiatif RTC yang memberi kesan positif kepada masyarakat tempatan.

“Kita harus lihat perkara ini dengan lebih mendalam kerana apabila memperkatakan mengenai RTC, ia bukan hanya membabitkan peniaga dan usahawan yang berniaga di RTC mahupun pengunjung di situ saja, tetapi juga keberkesanan pelaksanaan inisiatif-inisiatif RTC yang kebanyakannya berlaku dalam lingkungan radius 100 kilometer di luar RTC.

“Contohnya, masyarakat berhampiran RTC datang ke RTC juga mendapat faedah menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan seperti khidmat nasihat mengenai latihan kemahiran, pertanian, pemasaran produk, pusat pengumpulan dan pengedaran di kawasan mini RTC atau kampung berdekatan serta sebagainya.

“Mereka datang menghadiri kursus kelolaan agensi berkaitan di RTC dan membawa ilmu itu pulang ke rumah untuk diaplikasikan dalam perusahaan bagi menaikkan lagi tahap ekonomi mereka,” katanya.

Menurut Ibrahim, RTC juga berjaya dari segi pelaksanaan fizikalnya iaitu dengan kewujudan tujuh RTC di Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Kedah, Terengganu dan Sarawak, manakala empat lagi RTC bakal dibina pada tahun ini iaitu dua di Sabah dan masing-masing satu di Sarawak serta Negeri Sembilan.

Katanya, objektif utama penubuhan RTC adalah membantu meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar melalui aspek peningkatan pendapatan, pengurangan kos sara hidup selain menambah baik akses kepada perkhidmatan kerajaan.

“RTC juga berperanan sebagai pusat sehenti berkonsepkan ‘satu hentian, pelbagai perkhidmatan’ yang melaksanakan lapan inisiatif ditetapkan antaranya menyediakan latihan kemahiran, aktiviti pertanian bernilai tinggi, pemprosesan produk agro, pemasaran produk serta aktiviti kerjasama universiti.

“Pada masa depan, RTC merancang untuk memperkukuhkan kerjasama strategik di bawah Program Jaringan Strategik antara Mini RTC, RTC dan Pusat Transformasi Bandar (UTC), melaksanakan sinergi dengan program sedia ada kementerian seperti Program Desa Lestari, Rural Business Challenge dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Mohd Arif Ab Rahman pula berkata, pembabitan MOA di dalam program RTC merangkumi inisiatif satu iaitu latihan kemahiran; inisiatif tiga, pertanian bernilai tinggi; inisiatif empat, pemprosesan produk agro makanan dan inisiatif lima, pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian.

Menerusi latihan kemahiran secara berterusan yang disediakan kepada masyarakat luar bandar di RTC dan kawasan sekitarnya, ia mampu menambah pengetahuan serta keupayaan peserta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup selain membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Tidak cukup dengan itu, usahawan juga dapat menghasilkan produk yang bukan saja boleh dipasarkan untuk pasaran tempatan tetapi juga antarabangsa dengan pembungkusan yang mematuhi piawaian pembungkusan makanan tempatan dan antarabangsa.

“Setakat ini, kami sudah menjalankan 127 kursus di enam RTC (Perak, Kelantan, Pahang, Johor, Terengganu dan Kedah) dengan jumlah peserta yang terbabit seramai 4,281 orang terdiri daripada peserta dari luar bandar.

“Selain peniaga sedia ada di RTC dan kawasan berhampirannya, tidak terkecuali kami turut menggalakkan golongan belia mengambil peluang menyertai kursus ini bagi memajukan diri mereka.

“Justeru, MOA melalui Unit Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) menjalin kerjasama dengan KKLW menganjurkan latihan pertanian untuk belia seperti kursus fertigasi, pemprosesan produk perikanan, tanaman cendawan, buah-buahan rock melon dan sebagainya. Trend terkini dalam kalangan belia mendapati mereka cenderung kepada jenis pertanian yang mudah dan cepat menghasilkan keuntungan,” katanya.

Menurutnya, MOA bukan saja menyediakan kursus ini tetapi akan memantau dari semasa ke semasa perkembangan peserta selepas menyertai kursus supaya mereka tidak berhenti separuh jalan dalam mengusahakan perniagaan pilihan mereka termasuk petani, penternak dan nelayan.

MOA turut dibantu pegawai daripada agensi di bawah kementerian ini seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan sebagainya yang akan menyampaikan maklumat dan menolong masyarakat luar bandar selain memantau perkembangan perusahaan mereka.

“Sehingga kini, seramai 3,164 petani, penternak dan nelayan berjaya dibangunkan di bawah inisiatif ketiga di mana jumlah pengeluaran direkodkan sebanyak RM454.35 juta.

“Kami juga cuba membangunkan usahawan dalam bidang pemprosesan makanan agar kualiti produk dihasilkan lebih baik untuk pasaran tempatan dan global. Mengikut rekod terkini, seramai 1,924 usahawan industri asas tani sudah dibangunkan di bawah inisiatif keempat dengan nilai jualan terkumpul sebanyak RM439.88 juta.

“Sebagai contoh, seorang pengusaha rumpai laut di Sabah yang dulunya hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM6,300 sebulan kini berjaya mengaut keuntungan sehingga RM13,500 sebulan selepas menerima khidmat nasihat, kursus latihan, bimbingan dan sebagainya yang disediakan oleh pihak kami di RTC.

Mohd Arif berkata, kewujudan RTC di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang diterajui oleh KKLW ini jelas dengan visinya untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar dan kesejahteraan rakyat.

Pelbagai kemudahan boleh didapati di RTC yang memudahkan masyarakat di luar bandar agar mereka dapat membangun seiring dengan masyarakat bandar.

Disiarkan pada: April 13, 2015 @ 10:31am
d