mutakhir

Polis didakwa minta rasuah mangsa nahas

Johor Bahru: Seorang pegawai polis trafik mohon dibicarakan bagi tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Inspektor Mohd Shulul Azmil Shuaibon, 32, yang sebelum ini bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, mengaku faham terhadap dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan Trafik IPD Johor Bahru Selatan pada jam 5.25 petang, 13 Januari tahun lalu.

Mohd Shulul didakwa meminta suapan wang RM3,500 daripada Azman Mat Zain sebagai dorongan pertolongan yang dicadangkan dengan cara sama ada lelaki itu dikenakan pertuduhan lebih ringan atau tidak mendakwanya di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian dalam kemalangan jalan raya pada 5 November 2012.

Azman terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai, Taman Sri Stulang di sini, menyebabkan kematian mangsa yang dilanggarnya.

Bagi pertuduhan itu, Mohd Shulul didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Shulul didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada Azman di tempat sama antara jam 7 petang hingga 7.50 petang pada 15 Januari tahun lalu.

Ia untuk tidak menuduh Azman di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian dalam kes kemalangan jalan raya.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik manakala tertuduh di wakili peguam bela Rosli Kamaruddin.

Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Disiarkan pada: April 14, 2015 @ 10:05am
d