mutakhir

'Kenyataan Shila melampau'

Kuala Lumpur: “Sindiran atau apa saja mengenai istilah ‘muah ciked’ daripada dia, saya langsung tak terasa tapi kenyataan dia, orang yang cakap ‘muah ciked’ adalah tidak terpelajar, itu buat saya terkilan.”

Demikian reaksi pelakon popular, Nur Suhada Jebat atau Ayda Jebat, 23, berhubung tindakan penyanyi Shila Amzah yang dikatakan membuat video penjelasan semalam bahawa kenyataannya yang meradang dengan istilah itu ditujukan kepada adiknya dan bukan aktres terbabit.

Ayda berkata, sebagai individu lebih matang dia tidak perlu melayan kontroversi berkenaan kerana ia boleh diibaratkan perbalahan budak sekolah.

“Bagi saya tak perlu nak jawab apa-apa kononnya untuk bagi dia terasa pula, malah saya tak perlu jawab pun isu sebenarnya sebab ia tidak matang.

“Kalau dia rasa perkataan ‘muah ciked’ itu mengganggu kerjaya sampaikan dia kena besarkan hal itu, lainlah cerita. Tapi di pihak saya, tak kuasa hendak layan benda remeh itu,” katanya.

Kontroversi perbalahan antara Shila atau Nur Shahila Amir Amzah, 25, dengan Ayda bermula apabila penyanyi itu memuat naik tweet berbaur sindiran kerana berasa meluat dengan istilah ‘muah ciked’ (sayang sikit).

Difahamkan, istilah itu sering dikaitkan dengan Ayda dalam kalangan peminatnya.

Susulan tweet Shila itu, bermulalah perang siber antara dua kelompok peminat Shila dan Ayda.

Selepas beberapa hari, pada semalam Shila memuat naik sebuah video penjelasan yang menyatakan tweet sebelum ini sebenarnya merujuk kepada adiknya sendiri.

Bagaimanapun, segelintir pihak berpendapat penjelasan Shila itu tidak dapat diterima.

Malah, ada pihak berpendapat ia adalah tindakan untuk mengaburi kekecohan yang timbul berikutan perbalahan kedua-dua kelompok peminat mereka.

Ayda berkata, dia tidak peduli mengenai sindiran Shila yang dipercayai ditujukan kepadanya, namun kenyataan penyanyi itu bahawa penggunaan istilah itu hanya untuk individu tidak berpendidikan menyinggung perasaannya.

Disiarkan pada: April 14, 2015 @ 10:06am
d