mutakhir

Letak calon terbaik

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang mengesahkan nama calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh akan ditentukan dan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 23 April ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pengumuman rasmi akan dibuat selepas pihaknya menghantar beberapa nama yang disenarai pendek untuk diteliti dan dipilih sebagai calon BN.

“Walaupun akur untuk memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh bukan sesuatu yang mudah kerana ia kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 17 tahun lalu, namun melihat kepada rekod beberapa PRK sebelum ini, tidak mustahil BN mampu merampas kerusi berkenaan.

“Sudah tiba masanya rakyat Pulau Pinang khususnya di Permatang Pauh beralih kepada BN yang akan memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Apa yang penting sekarang ialah meraih sokongan dan undi rakyat, sekali gus merampas kerusi Parlimen Permatang Pauh. Justeru, semua ahli UMNO akan bekerja keras sebagai satu pasukan kerana sokongan pengundi meningkat lebih 40 peratus,” katanya pada sidang media di Menara UMNO, di sini, semalam.

Pada masa sama, Badan Perhubungan UMNO negeri menyatakan sokongan penuh kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO supaya beliau dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Zainal Abidin berkata, ahli UMNO dilatih dan dididik oleh kepemimpinan terdahulu untuk menghormati pemimpin dan sebarang perbezaan pandangan akan diselesaikan secara berhemah mengikut peraturan dan kehendak parti.

“Berdasarkan pengalaman, UMNO negeri berpendirian bahawa Najib adalah Perdana Menteri yang sangat terbuka dan sentiasa berlapang dada untuk mendengar keluhan dan perselisihan pendapat serta berpandangan yang berbeza dalam mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Segala masalah dan kemusykilan yang timbul dapat diselesaikan dengan baik dan UMNO negeri amat berpuas hati dengan sikap terbuka yang ditunjukkan Perdana Menteri,” katanya.

Zainal Abidin berkata, pihaknya meminta Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara menyegerakan siasatan terhadap 1MDB dan sekiranya ada unsur penyelewengan, pecah amanah dan salah guna kuasa, polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia hendaklah menyiasat pihak yang bertanggungjawab.

Beliau berkata, UMNO negeri turut melahirkan rasa hormat yang sangat tinggi terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang banyak berjasa dan berbakti pada kepentingan rakyat serta negara.

“Dengan rasa penuh hormat dan rendah diri, UMNO negeri merayu kepada Dr Mahathir agar dapat memberi masa sehingga hasil siasatan terhadap 1MDB selesai dan Najib perlu diberikan ruang dan masa tanpa gangguan untuk terus melaksanakan pelan transfomasi yang dimulakan sejak dulu.

“Sejak Najib mengambil-alih tampuk pemerintahan negara, banyak pelan transformasi yang dibuat dan dilaksanakan berjaya menempa kejayaan membanggakan,” katanya.

Disiarkan pada: April 14, 2015 @ 10:16am
d