mutakhir

Masih belum muktamad

Kuala Lumpur: Kerajaan belum memuktamadkan untuk menetapkan had umur pengeluaran simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada usia 60 tahun, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata, perkara itu hanya cadangan daripada pihak KWSP, selaras dengan pelanjutan had umur persaraan yang ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu daripada 55 tahun kepada 60 tahun.

“Kerajaan masih belum membuat keputusan muktamad (had umur pengeluaran simpanan persaraan) dan masih dalam tahap perbincangan.

“Sebarang pelaksanaan mesti perlu melalui Kabinet terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, semalam.

Minggu lepas, KWSP dilaporkan sedia mempertimbangkan penyelarasan had pengeluaran simpanan kepada umur 60 tahun berbanding 55 tahun ketika ini yang mengundang reaksi negatif daripada pelbagai pihak. - BERNAMA

Disiarkan pada: April 14, 2015 @ 10:22am
d