mutakhir

Bina bawah RM500,000

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kajang: Pemaju hartanah di negara ini digalakkan menyediakan lebih banyak pembinaan kediaman berharga lingkungan bawah RM500,000 berikutan potensi pasaran hartanah itu lebih mendapat permintaan tinggi daripada pembeli.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, urus niaga kediaman berharga antara RM200,000 hingga RM500,000 menunjukkan pertumbuhan positif pada 2010 hingga 2014 berdasarkan data diperoleh daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Kita melihat terutama dari segi data untuk kediaman bagi nilai pasaran RM200,000 hingga RM500,000 menunjukkan peningkatan ketara semenjak 2010 hingga 2014.

“Contohnya, pada 2013 jumlah transaksi untuk nilai kediaman berkenaan mencecah sebanyak 74,153 malah ia terus meningkat kepada 102,082 pada 2014.

“Jadi peningkatan positif ini jelas menunjukkan kategori kediaman ini mendapat permintaan lebih tinggi dan kita berharap pemaju dapat memperkenalkan lebih banyak kediaman dalam lingkungan harga berkenaan berbanding nilai melebihi RM500,000 hingga ke RM1 juta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2014 di Institut Penilaian Negara di sini, semalam.

Disiarkan pada: April 15, 2015 @ 7:53am
d