mutakhir

'Kami sedar rungutan GST'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Sebanyak tujuh hotel dan 50 restoran diberikan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011) selepas didapati mengenakan caj perkhidmatan biarpun tanpa perjanjian bersama (Collective Aggrement).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak 57 notis itu dikeluarkan bagi tempoh antara 8 hingga 13 April lalu membabitkan 646 pemeriksaan termasuk 259 hotel dan 387 restoran.

Beliau berkata, pemeriksaan itu dilakukan hasil rungutan daripada pengguna yang mendakwa mereka terpaksa membayar dua caj iaitu masing-masing Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan caj perkhidmatan.

“Kami menyedari rungutan pengguna, malah kami kini sedang mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kebenaran untuk pengeluaran notis khas yang akan diguna pakai oleh semua hotel dan restoran di seluruh negara.

“Pengeluaran notis khas itu penting bagi memberi rujukan kepada pengguna untuk memilih hotel dan restoran yang tepat sama ada ia layak mengenakan caj perkhidmatan atau tidak,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, pihaknya juga menerima rungutan daripada pengguna yang keliru dengan pelbagai istilah lain yang digunakan selain daripada caj perkhidmatan termasuk caj restoran, tips dan caj buruh.

Justeru, Alias berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu, malah kekeliruan itu akan diselesaikan secepat mungkin supaya tidak timbul masalah pada masa depan.

Menurutnya, daripada tinjauan yang dilakukan, rata-rata pengguna mahu caj perkhidmatan dimansuhkan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong isu kepenggunaan.

Kelmarin, Menteri KPDNKK Datuk Seri Hasan Malek memaklumkan keputusan cadangan kerajaan menghapuskan sepenuhnya caj perkhidmatan 10 peratus yang dikenakan kepada pelanggan oleh kebanyakan hotel dan premis makanan serta minuman dijangka diketahui akhir bulan ini.

Disiarkan pada: April 15, 2015 @ 8:27am
d