mutakhir

Ajal gagal memotong

Sabak Bernam: Dua maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 33 Jalan Klang-Teluk Intan berhadapan sebuah sekolah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Jamal Sunan, 59, dan Mohmmed Nadzir Jumadi, 55, tersepit di tempat duduk hadapan kereta.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kereta yang dipandu Jamal gagal memotong kenderaan di hadapannya dan berlanggar dengan treler dari arah bertentangan.

“Difahamkan pemandu treler berkenaan cuba mengelak, tetapi melanggar bahagian hadapan kereta mangsa.

“Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mayat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: April 15, 2015 @ 9:02am
d