mutakhir

Bukan untuk langsai hutang

Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melihat golongan dewasa berusia antara 30 hingga 40 tahun berdepan dengan krisis pengurusan kewangan yang membimbangkan.

Ini berikutan satu tinjauan mengenai program pengurusan kredit (DMP) yang dilakukan AKPK menunjukkan peningkatan daripada 44,227 peserta pada keseluruhan 2014 kepada 45,525 peserta antara Januari hingga Februari 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Azaddin Ngah Tasir berkata, peningkatan angka itu menunjukkan golongan terbabit terdedah kepada masalah pengurusan wang yang mampu mengakibatkan penyakit sosial apabila mereka mencapai usia persaraan.

Beliau berkata, isu perancangan kewangan menjadi punca utama masalah kewangan yang berlaku dalam kalangan peserta DMP iaitu 22 peratus manakala ia diikuti kegagalan dalam perniagaan 16.5 peratus seterusnya perbelanjaan perubatan sebanyak 15.2 peratus.

“Sekiranya golongan ini tidak mempunyai perancangan kewangan atau tabungan semasa mereka bekerja akan berlaku masalah untuk kos sara hidup selepas bersara yang mana mereka sekurang-kurangnya memperuntukkan antara 10 hingga 20 peratus daripada pendapatan bagi tujuan simpanan.

“Isu mendisiplinkan diri dalam mengurus kewangan juga sangat penting. Kadangkala dengan mengikut kehendak hati seperti menginginkan kereta besar sedangkan tiada kemampuan juga mengakibatkan mereka terbeban dalam pengurusan komitmen kewangan,” katanya.

Dalam tinjauan yang dilakukan oleh AKPK menerusi DMP juga menunjukkan kegagalan menguruskan kad kredit menjadi salah satu faktor orang ramai berdepan dengan krisis hutang individu.

Azaddin berkata, perbelanjaan melebihi kemampuan dengan menggunakan kad kredit sebagai kunci penyelesaian pembayaran adalah salah satu tindakan yang kurang bijak.

Sejak penubuhan AKPK sehingga 28 Februari 2015, lebih daripada 321,530 peserta sudah mendapatkan perkhidmatan kaunseling yang mana 125,330 daripada mereka telah dibantu menerusi DMP.

Antara lain, AKPK juga membantu peminjam individu untuk menstruktur semula pembiayaan perumahan, kenderaan, peribadi atau baki tertunggak kad kredit atau caj diperoleh daripada penyedia kewangan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia.

Program DMP membantu peminjam memulakan bajet yang menjadi panduan dalam menunaikan pembayaran hutang serta perbelanjaan hidup, sekali gus mengurangkan pinjaman tidak berbayar (NPL) serta perampasan rumah.

Azaddin menambah, penduduk Malaysia kini mempunyai jangka hayat lebih panjang sehingga 77 tahun dan dalam keadaan itu, isu simpanan kewangan menjadi salah satu isu penting untuk jangka masa panjang.

Katanya, jangan jadikan tabungan di dalam tabung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai poket utama orang ramai untuk melangsaikan hutang yang berlaku sebelum tempoh bersara.

“Wang KWSP adalah bagi membantu kita hidup selesa selepas bersara dan bukan untuk melangsaikan hutang. Sekiranya mereka mengunakan wang KWSP untuk membayar hutang, bagaimana untuk kelangsungan hidup ketika bersara? Pasti berdepan dengan masalah,” katanya.

Seramai 7,800 orang yang menyertai program DMP berjaya menyelesaikan semua hutang mereka dan 70 peratus lagi berjaya mendisiplinkan diri melunaskan hutang tertunggak.

Disiarkan pada: April 16, 2015 @ 9:30am
d