mutakhir

'Doakan Cicik sembuh'

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: “Ya Allah, engkau sembuhkanlah Cicik, kembalikanlah dia kepada kami dalam keadaan sihat supaya dia dapat mencapai cita-citanya menjadi ustazah,” doa seorang ibu, Kordiya Kamaludin, 35, yang sayu melihat anaknya terlantar di hospital akibat kanser otak yang kritikal.

Hanya itu mampu dilakukan apabila anaknya, Sarah Aini Rosli, 8, kini menderita penyakit dikenali Brain Stem Glioma, sejenis ketumbuhan pada otak yang mengganggu sistem tubuh badannya menyebabkan dia tidak mampu bergerak seperti kanak-kanak seusianya yang lain.

Bagi Kordiya, tiada lagi gurau senda dan sikap lemah lembut anak ketiga daripada lima beradik itu selepas diserang demam panas secara tiba-tiba ketika perayaan Tahun Baru Cina, Februari lalu.

“Setiap hari saya doakan Cicik kembali sihat, dapat bersama adik beradiknya yang lain kerana dia sangat baik dan disenangi semua ahli keluarga. Hari ini dia hanya mampu terlantar di katil hospital dan sering mengajak saya pulang ke rumah kerana dia ingin ke sekolah.

“Sedih mengenangkan dia meminta untuk makan nasi goreng bersama sambal udang masakan saya, apakan daya, dia hanya boleh minum susu ketika ini. Kepada rakyat Malaysia, doakan agar dia sembuh dan dapat meneruskan kehidupannya seperti dulu,” katanya selepas menerima kunjungan EXCO Pemuda UMNO Sheikh Nafiq Al Firdaous di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam.

Murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Merbau Sempah itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas demamnya tidak kebah beberapa hari, dan terus dirujuk ke HKL untuk pemeriksaan lanjut kerana mengalami perubahan pada mulut dan matanya.

Menurut bapanya, Rosli Abdullah, 48, anaknya sebelum itu tidak menunjukkan tanda sakit, malah ke sekolah seperti biasa beberapa hari sebelum demam.

“Saya bawa dia ke HSB dan dia ditahan di wad kerana doktor mengesahkan ada jangkitan pada saraf muka. Kemudian dia dipindahkan ke HKL 7 April lalu untuk mendapatkan pemeriksaan pakar dan sejak itu dia terlantar di sini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Sementara itu, Sheikh Nafiq berkata, pihaknya dimaklumkan kes menimpa Sarah Aini baru-baru ini dan tampil menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban ditanggung keluarga kanak-kanak malang itu.

Beliau yang juga pengerusi Biro Aduan Komuniti pergerakan itu berkata, Pemuda akan membuat tindakan susulan dengan merujuk kes berkenaan kepada Tabung Kronik Negara bagi mendapatkan dana membiayai pembedahan yang mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

“Kami merayu orang ramai dan juga warga korporat untuk sama-sama membantu meringankan beban ditanggung keluarga ini. Biro juga akan mendapatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika terdapat skim bantuan yang layak diperoleh adik Sarah kerana bapanya sudah tidak bekerja manakala ibunya suri rumah.

“Kami difahamkan, keluarga masih belum memutuskan untuk melakukan pembedahan, namun kami berharap segalanya berjalan dengan baik dan kami doakan adik Sarah sihat seperti biasa,” katanya.

Orang ramai yang hendak menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Rosli Abdullah 1011929000114613 (Bank Simpanan Nasional).

Disiarkan pada: April 17, 2015 @ 10:43am
d